Gara-gara ‘makcik degil gelang pink’, restoran ini pula jadi mangsa
Seorang pengusaha restoran di Jalan Meru Bestari, Bandar Meru Raya, Ipoh kecewa apabila menjadi ‘mangsa’ gara-gara ada pihak menuduh premis makanannya adalah kafe yang dikunjungi seorang wanita yang dikuarantin kerana COVID-19 atau lebih dikenali dengan ‘makcik gelang pink’.
Mohd Khirul Adnan Hamid, 32 tahun, berkata, premisnya, Restoran Pokok Belacan bukan kedai makan yang dikunjungi wanita berusia 72 tahun itu seperti yang tular di media sosial.
Susulan itu, dia mengalami kerugian besar apabila ramai pengunjung yang takut untuk makan di restoran itu.
Pada status terbaharu restoran itu di laman sosial Facebook, ia berkongsi dua foto yang memaparkan hidangan lauk-pauk yang tidak habis dijual kerana menjadi mangsa tuduhan berkenaan.
Semuanya disebabkan satu mesej yang menyatakan “cuba elak pergi ke lokasi ini” dengan menyenaraikan tiga lokasi jangan kunjung kerana pernah dikunjungi ‘makcik gelang pink’ termasuk restorannya telah dikongsi kebanyakan aplikasi kumpulan Whatsapp sejak beberapa hari lalu.
Menurut Adnan, sejak beberapa hari lalu, kesan daripada itu juga, hasil jualan makanan jatuh sehingga 80 peratus setiap hari.
“Hasil jualan makanan jatuh 80 peratus setiap sejak semalam. Malah, pelanggan tetap juga tidak lagi berkunjung ke restoran saya.
“Biasanya beratus pelanggan sehari, namun, hari ini ramai takut nak datang makan sebab mesej tular berkenaan. Padahal bukan salah saya, dan bukan restoran saya pun,” katanya semasa dihubungi Astro AWANI pada Jumaat.
BACA: Wanita pakai ‘wristband’ COVID-19 makan di kafe, cetus kebimbangan netizen
BACA: Wanita ‘gelang pink’ sedang dirawat di hospital
Malah, katanya kesannya bukan sahaja dialami dia sendiri, namun kebanyakan premis makanan di Bandar Meru Raya sendiri.
“Mesej itu tular di Kumpulan Whatsapp, nama restoran saya disebut agar jangan dikunjungi. Rakan-rakan saya yang berniaga di kedai makan juga terkesan.
“Ia memberi kesan kepada peniaga lain juga yang dekat dengan Restoran Pokok Belacan. Ada yang tak nak hantar anak tuisyen yang ada dekat-dekat sini. Fitnah ini teruk dan libatkan umum,” ujarnya lagi.
Susulan itu, satu laporan polis telah dibuat pada Rabu bagi membersihkan nama dan restorannya.
Melalui laporan itu, dia memohon polis melakukan siasatan ke atas individu yang bertanggungjawab menularkan perkara tidak benar di media sosial kerana menjejaskan perniagaannya.
Malah kata Adnan, jika keadaan itu berterusan dalam masa seminggu lagi, dia mungkin menutup operasi kedainya sementara waktu.
“Saya ada 12 orang pekerja. Kalau perkara ini berlarutan, sebab saya terpaksa bayar gaji juga dan kos bahan mentah perlu ditanggung, jadi saya tak tolak kemungkinan untuk tutup operasi restoran buat sementara ,” tambahnya.
Justeru, Adnan berharap semua pihak agar tidak terus menularkan perkara yang tidak benar mengenai restoran di Bandar Meru Raya kerana ia hanya akan menjejaskan punca pendapatan kebanyakan peniaga yang tidak bersalah.
Dalam pada itu, kafe yang dikunjungi ‘makcik gelang pink’ sebelum ini dilaporkan telah mula dibuka selepas proses sanitasi selesai dan premis itu juga mengalami nasib sama. Awani
simpati pada saudara Adnan…media sosial inilah tanda2 akhir zaman manusia gunakan untuk memudahkan lagi membuat fitnah…tidak mustahil orang yang mula membuat fitnah & minta diviralkan adalah individu yang memang dengki pada kita…musuh kita ini sebenarnya kita kenal siapa, dia rapat dengan kita tapi kerana manis mulutnya kita tidak menyangka dia musuh kita