Dibaham buaya ketika cuci perahu
Seorang lelaki hilang dipercayai dibaham buaya di Sungai Seduku berdekatan Rumah Panjang Tuntun, Sri Aman, Sarawak sekitar jam 9.30 pagi hari ini.
Mangsa dikenali sebagai Gendik Kong, 47, semasa kejadian dikatakan bersama seorang rakannya sedang membersihkan perahu yang digunakan mereka menangkap ikan.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata rakannya memberitahu mangsa tiba-tiba ditarik masuk ke dalam sungai sebelum dilihat terdampar di tebing sungai kira-kira satu kilometer dari lokasi kejadian.
“Turut kelihatan ketika itu adalah seekor buaya dan apabila rakan mangsa serta penduduk kampung cuba menghampiri lokasi tersebut, buaya itu kemudian terus menarik semula mangsa ke dalam sungai,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Usaha mencari dan menyelamat mangsa masih dijalankan. UB