Saman fitnah Zakir terhadap Ramasamy didengar Mac 2021
Dua saman fitnah oleh pendakwah Zakir Naik terhadap Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy ditetapkan untuk pendengaran lima hari bermula 22 Mac tahun depan.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semasa pengurusan kes pagi ini menetapkan tarikh-tarikh berkenaan untuk mendengar kedua-dua kes itu secara bersama.
Tahun lalu, Zakir sebagai plaintif memfailkan dua saman fitnah terhadap Ramasamy selaku defendan.
Saman pertama difailkan 16 Oktober tahun lalu, berhubung empat kenyataan Ramasamy yang dikeluarkan pada 10 April 2016; 1 Oktober 2017; 11 Ogos 2019; dan 20 Ogos 2019.
Pada 30 Disember tahun lalu, Zakir dilaporkan memfailkan saman fitnah kedua terhadap Ramasamy, berhubung kenyataan yang disiarkan di portal The Malaysian Insight pada 8 November.
Semasa pengurusan kes di hadapan Hakim Mohd Firuz Jaffril pagi ini, kedua-dua saman itu ditetapkan untuk pendengaran secara bersama dari 22 Mac hingga 26 Mac tahun depan.
“Segala pernyataan saksi mesti difailkan pada 1 Mac (tahun depan),” maklum Mohd Firuz kepada peguam Akberdin Abdul Kader dan Lee Mei Xian, yang masing-masing mewakili Zakir Naik dan Ramasamy.
Hakim turut menetapkan 13 Oktober tahun ini sebagai pengurusan kes untuk mengemas kini sama ada plaintif akan membantah permohonan defendan untuk meminda pernyataan pembelaannya.
Kedua-dua Zakir dan Ramasamy tidak hadir di mahkamah.
Ketika ditemui selepas prosiding, Akberdin mendedahkan bahawa lima saksi akan memberi keterangan bagi pihak Zakir, termasuk plaintif sendiri.
“Kami ada lima saksi, termasuk plaintif (Zakir),” kata Akberdin kepada media pagi ini.
Selain Ramasamy, Zakir turut memfailkan saman fitnah terhadap bekas menteri sumber manusia, M Kulasegaran; Anggota Parlimen Klang, Charles Santiago; Adun Bagan Dalam, Satees Muniandy dan bekas duta besar, Dennis J Ignatius.
Tindakan undang-undang itu difailkan ekoran kenyataan kontroversi Zakir dalam satu ceramah di Kelantan pada 8 Ogos tahun lepas mengenai penyebaran Islam secara aman di Kepulauan Melayu. Mkini
You must be logged in to post a comment.