Penangan Covid-19, dari Pilot menjadi rider Food Panda
Tiada siapa menduga krisis COVID-19 tahun ini benar benar memberikan impak maksimum.
Semenjak bertukar kerjaya dari sektor kerajaan ke dunia penerbangan aku fikir inilah kerjaya yang akan memberi kebahagian kepada keluarga kecilku ; anaku Sofea berusia 8 tahun dan isteri yang setia disisi sepanjang 10 tahun yang lalu.
Namun takdir Allah penuh misteri, setelah 10 tahun di dalam bidang penerbangan yang orang fikir penuh glamour, (em..orang fikir..sedangkan bukan begitu), akhirnya aku kehilangan pendapatan semenjak April akibat syarikatku bekerja kehilangan pendapatan akibat pandemik.
Setelah keadaan reda, aku memikirkan untuk mencari pekerjaan yang sesuai untuk menjana pendapatan. Namun bukan senang nak dapat kerja, bukan aku seorang kene buang, ramai.
Puas aku menghantar resume ke sana sini bak kata perdana menteri namun hampa, tiada siapa yang nak ambil bekerja. Kecewa, sungguh kecewa.Aku mana ade kemahiran dalam bidang lain selain supir (pemandu) kapal terbang.
Ramai kawan lain menjana pendapatan dari saham dan Forex tapi aku mampu tengok sahaja. Duit yang ada pun hanya untuk membayar hutang selepas morotorium kelak.
Hendak belajar tentu learning curve sangat lama memandangkan bidang itu berisiko tinggi.
Jadi apa cara nak dapat duit pantas?
Puas fikir dan belek apa ada di tangan akhirya aku memutuskan untuk menjadi supir di darat pula.
Oh ya pandu apa? Setelah survey pilihan yang ada aku fikir kerjaya ini mungkin boleh menghasilkan pendapatan yang okay buat sementara.
Kerja apa tuan-tuan? E-Hailing rider.
Dalam aviation kelayakan untuk menerbangkan setiap pesawat di namakan type rating. Civil Aviation Authority Malaysia(CAAM) sudah endorsed dalam lesen aku kapal boleh aku terbangkan ada dua; ATR72-600 dan B738NG.
Bukan macam di darat ya sahabat semua. Kita nak pandu BWM, Mercedes atau Proton belasah saja. Tiada undang-undang nak larang. Asal boleh memandu kira boleh dah tu.
“Eh apa kena type rating dengan rider e-hailing? Sabar aku nak cerita ni.
Jadi aku pun memohon untuk menjadi rider e-hailing. Rupanya banyak sungguh company e-hailing dekat Malaysia.
Mohon punya mohon (bukan free tau, kena bayar nak jadi pekerja e-hailing ini) sedar tak sedar aku sudah ada empat type rating.
Apa beza setiap syarikat ini? Jom aku cerita di bawah.
1. LalaMove
Pendaftaran percuma tetapi bag kena beli harga RM120. Sebagai rider tugas seharian adalah rebut job dalam aplikasi yang disediakan. Agak susah nak dapat job.
Baru dengar sahaja notifikasi, kerja (tempahan) sudah hilang kena rembat. Apa maksudnya? Maksudnya rider sangat ramai. Mereka semua ini mungkin macam aku pilot yang kehilangan kerjaya atau bidang lain yang kena buang.
Oh ya tugas penghantaran dibayar ikut distance ‘goods’ yang dihantar. Julat dari semurah RM4 hingga semahal RM40. Ikut jarak berapa jauh kita hantar. Secara purata 1km dapat RM0.80 sen. Kamu rasa berapa lama aku bertahan job ini?
Sudah lah dekat Putrajaya (rumah aku) job tiada, kena pergi ke USJ untuk dapatkan job. Dengan motosikal besar yang guna clutch dan full riding gear memang cari nahas buat keje e-hailing ini. 3 jam sahaja main dalam bandar aku sudah menyerah .
“Letih wei main clutch plus moto punya berat,”.
2.DahMakan
Daripada aku kena rebut job, job datang ke aku. Senang sikit kan? Itu teori sahaja. Rupanya aku kena pergi ke hub catering dia. Jauh la pula, ada di PJ dan USJ.
Liputan penghantaran makanan dari PJ hantar ke Putrajaya. Sesuai untuk motosikal besar macam aku pakai tetapi upahnya sangat la sedikit. Sudahnya upah dapat cukup bayar minyak motosikal sahaja. Cancel, tak boleh pergi lagi benda ini.
3.FoodPanda
Wah ini sebiji macam airlines. Kenapa? Sebab dalam airlines ada 3 elemen ini.
A) On Time Performance (OTP)
Masa fly sebolehnya elakkan penundaan.Tapi tunda bukan sebab aku sebagai Kapten suka-suka nak tunda. Biasa disebabkan oleh cuaca atau teknikal.
Untuk Foodpanda aku kena ikut masa aplikasi beri ketika menghantar makanan. Jadi rahsia nak OTP yang cun? Sudah semestinya guna motosikal kecil.
Jangan pakai motosikal besar. Yang kecil tidak perlu pakai clutch, minyak jimat dan nak menyelit senang.
“Mana plak aku nak cri moto kecik..aduh,”.
B) Check-In
Operasi prosedur standard (SOP) untuk terbang ialah sebelum masuk dalam kokpit kena check in pada komputer di pejabat. FoodPanda pula aku kena check -in di kawasan ditetapkan. Aku main Putrajaya sahaja sebab nak check-in 10 minit dari rumah saja.
Tetapi sejujurnya ia mengagumkan aku. Aplikasi dan SOP yang disediakan oleh FoodPanda agak sistematik. Sudah check-in hanya perlu tunggu untuk diberikan kerja atau tempahan oleh sistem.
Biasa dalam Putrajaya tugas aku hantar makanan segera seperti Mc Donalds, KFC, dan Burger King kepada pelanggan di sini. Sebut pelanggan faham-faham la kan perangai. Ada yang baik dan ada tak (dipandangnya aku ini macam kuli)
“Eh memang kuli pun wei. Aku bukan kapten dalam pesawat dah. Tak sedar diri aku ni, hahhaha,”.
C) Roster
Ini paling mengujakan aku. Sebiji seperti syarikat penerbangan. Kami di sana akan ada roster atau jadual penerbangan yang disediakan sebulan awal. Dalam roster ini kami akan tahu esok nak terbang ke mana, berapa sektor dan siapa FO( First Officer) serta pramugari yang bertugas.
Jika demam ada dua pilihan, satu MC satu lagi tukar dengan orang lain untuk dapatkan cuti.
Untuk FoodPanda sama. Beza aku seorang sahaja rider. Mana ada First Officer dan pramugari ikut aku dah. Jika aku tidak dapat bertugas aku kena tawarkan pertukaran dengan rider lain.
Mantap memang mantap sistem ini. Tak terfikir pula e-hailing ini sama macam syarikat penerbangan.
Jadi, ini lah tugas aku ketika ini. Gig atau hustle job orang kata. Tetapi ada tapi. Dulu sejam aku terbang boleh dapat minima RM6xx sehari, tetapi sekarang sudah terbalik sehari maksimum kerja bagai nak rak (dengan panas, hujan, kene marah dengan pelanggan, terbakar muka dan tangan) boleh dapat RM50 hingga RM70 sahaja.
Cukup ke nak bayar perbelanjaan aku? Memang tak cukup tetapi inilah rezeki Allah beri untuk keluarga aku buat masa sekarang. Kesian sangat dekat anak aku umur 8 tahun ni.
Masih kecil tapi sudah terpaksa lalui kesusahan ini. Maafkan papa ya nak. Aku sedang mencuba sehabis baik untuk mencari kerja yang sesuai agar keluarga kami dapat kembali seperti sebelum ini.
‘Till then safe ride, dulu safe flight. Adios’
Vocket