Moratorium berakhir September, kata Tengku Zafrul

Moratorium berakhir September, kata Tengku Zafrul

PETALING JAYA: Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz menjelaskan kerajaan masih lagi berbincang mengenai tempoh moratorium pembayaran balik pinjaman.

“Belum lagi ada keputusan muktamad,” katanya menjawab pertanyaan Saifuddin Nasution (PH-Kulim) yang meminta penjelasan mengenai perkara itu.

Terdahulu, agensi berita Bernama memetik Zafrul sebagai berkata moratorium akan tamat pada September ini. Perkembangan ini disebalik gesaan daripada pelbagai pihak menyeru kerajaan melanjutkan moratorium untuk 6 bulan lagi.

Zafrul melaporkan rakyat dan peniaga mula menjana pendapatan dengan pembukaan ekonomi pada 4 Mei lalu, “dan ada yang boleh bayar semula pinjaman”.

“Jadi langkah seterusnya masih lagi kita bincang dengan bank supaya mereka buat pertolongan secara lebih bersasar,” katanya, menjawab pertanyaan Ahmad Maslan (PN-Pontian) yang bertanya sama ada kerajaan akan melanjutkan tempoh moratorium.

Zafrul memberikan contoh pertolongan bersasar seperti “memanjangkan tempoh bayaran sekali gus dapat mengurangkan ansuran bulanan, seterusnya ubah syarat pinjaman serta kurang kadar faedah dan memberi pelepasan lain sehingga peminjam stabil”.

Pembekuan pembayaran balik pinjaman selama 6 bulan diperkenalkan pada 1 Apr, dan dijadualkan berakhir pada 30 Sept.

Sementara itu, kerajaan belum ada rancangan untuk mengumumkan pakej tambahan Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dan Prihatin PKS bernilai RM260 bilion yang diumumkan sebelum ini.

Fokus kerajaan sekarang ini menyokong perniagaan dan perkukuh ekonomi, katanya.

“Mengenai pakej tambahan ini, bergantung kepada pakej pemulihan ekonomi negara, buat masa ini belum ada rancangan membuat pakej tambahan,” katanya.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan pakej Prihatin dan Prihatin PKS bernilai RM260 bilion. Menerusi pakej itu, kerajaan mengumumkan moratorium pembayaran balik pinjaman.FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker