Keluarga Adib ada hak tuntut keadilan

IPOH – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyerahkan sepenuhnya kepada undang-udang berhubung isu tuntutan saman sivil yang difailkan keluarga Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib berkata, keluarga anggota bomba itu mempunyai hak berbuat demikian dalam menuntut keadilan.

“Saya tidak mahu komen banyak perkara ini. Saya kira mahkamah ada. Cuma yang penting mereka (keluarga) dan rakyat inginkan keadilan buat Adib.

“Kita tidak tahu sebenarnya sebab kematiannya, sebab itulah kita perlukan keadilan. Bukan sahaja kes Adib tetapi kes-kes lain juga. Bagaimanapun, itu hak keluarga untuk membuat (tuntutan), kita serah kepada undang-undang,” katanya ketika ditemui pada majlis lawatan kerjanya ke Balai Bomba dan Penyelamat Meru Raya di sini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Datuk Abdul Wahab Mat Yasin dan Pengarah Bomba Perak, Azmi Osman.

Sementara itu, Ismail berkata, kementeriannya berusaha membawa cadangan untuk meningkatkan kadar elaun tugasan anggota bomba bantuan untuk dibincangkan di peringkat Kabinet.

ARTIKEL BERKAITAN: PDRM akan teliti tuntutan saman keluarga Adib

Menurutnya, cadangan itu kini masih di peringkat rundingan.

“Setakat ini mereka dibayar elaun RM6 sejam sedangkan polis (Sukarelawan Simpanan Polis) dan Rela mendapat RM8 sejam. Kita bukan mahu mendesak atau menekan kerajaan kerana kita tahu kerajaan perlukan kewangan.

“Tetapi atas tanggungjawab kita sebagai kementerian dan jabatan, sebab itu wajar membela pasukan bomba ini kerana mereka menjalankan tugas. Buat masa ini, kita sedang berusaha dan kerajaan di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin begitu prihatin dengan masalah rakyat di bawah,” katanya.

SH

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker