Program baru akan ganti PLKN, Biro Tata Negara
Kerajaan akan memperkenalkan program baru untuk menyemai semangat patriotisme menggantikan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dan Biro Tata Negara (BTN) yang dimansuhkan kerajaan terdahulu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas Khas), Redzuan Yusof berkata struktur baru program itu sedang dimuktamadkan dan akan dibentangkan kepada Kabinet dalam masa terdekat.
“Kita sedang memuktamadkan struktur itu sendiri. Adakah kita nak wajibkan (seperti PLKN) ataupun kita ambil wakil dari setiap institusi (seperti pelajar dan wakil rakyat)? Kita belum muktamadkan sukatan latihan itu sendiri dan siapakah yang wajib ataupun yang digalakkan hadir ke program ini.
“Harapan saya pengisian bagi program baru ini dapat dibentangkan sebelum Dewan Rakyat berakhir supaya kita boleh jawab apa yang dibangkitkan di Parlimen baru-baru ini,” katanya selepas merasmikan Majlis Amanat Bersama Angkatan Pertahanan Awam Zon 5 (Kelantan, Terengganu dan Pahang) hari ini.
Pada majlis itu, 12 pegawai APM menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2019 serta 14 menerima watikah pelantikan pegawai kehormat dan bersekutu APM.
Ditanya adakah program baru itu menyerupai program dilaksanakan BTN, Redzuan berkata, program baru itu menggabungkan sukatan dan latihan diterapkan dalam PLKN serta BTN yang membabitkan modul patriotisme, Perlembagaan, kenegaraan dan penyatuan kaum.
“Kita lebih kepada membina semangat patriotisme, mahu mewujudkan satu bangsa bersatu padu di negara kita menerusi Perlembagaan dan Rukun Negara,” katanya.
Sebelum ini, Ahmad Maslan (PN-Pontian) ketika berucap di Parlimen meminta kerajaan menghidupkan kembali program dan agensi kerajaan yang dimansuhkan kerajaan terdahulu, seperti PLKN, BTN dan Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa). FMT
You must be logged in to post a comment.