Singkirkan Saki Baki PH, Segerakan PRU15, Dapatkan Mandat Baharu

KEMBALIKAN kuasa kepada rakyat untuk memilih wakil rakyat yang baharu. Rakyat sudah cukup terkesan dan menderita akibat wabak dan pandemik COVID-19.

Pertukaran Speaker dengan majoriti yang amat tipis menandakan bahawa pilihan raya umum (PRU) perlu dilakukan segera bagi mendapatkan mandat baharu.

Mandat baharu ini amat penting supaya keadaan Parlimen terkawal dan tidak menjadi sarkas yang memalukan.

Apabila sudah mandat baharu nanti, barulah semua akan sedar diri. Melihat kepada gelagat segelintir pembangkang semalam amatlah meloyakan. Sehinggakan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Islam), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli al Bakri yang begitu ‘jurus dan lurus’ pun disindir sebegitu rupa. Tidakkah ini tindakan yang kurang ajar?

Dengan undian berbelah bahagi yang memperlihatkan sokongan pengosongan jawatan Speaker ini sebanyak 111 menyokong dan yang tidak menyokong sebanyak 109, secara tidak langsung mencerminkan kedudukan kerajaan hari ini ‘agak goyah’.

Keputusan itu membolehkan bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Azhar Azizan Harun dilantik sebagai Speaker Dewan Rakyat baharu, menggantikan Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof.

Isyarat ini cukup kuat sebagai tanda pengukuhan kerajaan perlu dilakukan oleh mana-mana pihak dengan menyerahkan semula mandat pemilihan wakil kerajaan kepada rakyat.

Melihat kepada kekecohan hari pertama Parlimen bersidang, sebelum pelantikan dan selepas pelantikan Speaker yang baharu, menampakkan keadaan sudah tidak terkawal.

Gelagat dan bahasa yang digunakan oleh Ahli-Ahli Parlimen amat-amat menyedihkan, lebih-lebih lagi pembangkang yang telah hilang kuasa. Inikah contoh kepada generasi mudah akan datang?

Lebih jelik lagi, Speaker yang baharu dilantik, diperlekehkan dan diejek oleh Ahli Parlimen pembangkang ultra kiasu, seolah-olah tidak ada harganya, sedangkan beliau juga bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), lantikan PH sebelum ini? Kenapa beliau harus dimalukan sedemikian rupa oleh Ahli Parlimen PH sendiri?

Hari ini (14 Julai 2020), ketika artikel ini ditulis, hari kedua Parlimen bersidang, pastinya, kita akan menyaksikan lagi sarkas di Parlimen.

Justeru, sudah sampai masa PRU perlu dilakukan dengan segera atas sebab-sebab berikut:

Pertama, kembalikan semula mandat kepada rakyat untuk membuat keputusan. Rakyat sudah tidak tahan melihat sarkas yang berada di Parlimen.

Kedua, jika PRU tidak diadakan segera, yang akan menjadi mangsa adalah rakyat. Proses beli membeli wakil rakyat tidak mustahil berlaku, kerajaan akan menjadi tidak stabil. Pertukaran kerajaan tidak mustahil berlaku lagi.

Ketiga, tumpuan kepada tugas sebagai menteri, timbalan menteri dan Ahli Parlimen akan terjejas, kerana masing-masing akan memikirkan kedudukan mereka yang tidak stabil. Masa banyak terbuang untuk mematikan setiap langkah musuh atau lawan

Keempat, akibat majoriti tipis ini, kedudukan keseluruhan kerajaan menjadi tidak stabil. Fitnah menfitnah, ‘tikam menikam’ akan terus berlaku.

Kelima, kedudukan kerajaan yang paling baik adalah kerajaan yang mendapat majoriti dua pertiga atau lebih. Jika tidak dapat pun dua pertiga (148 kerusi), keadaan tentunya akan menjadi lebih baik setelah mandat baharu diperolehi. Paling tidak, melebihi 130 kerusi.

Keenam, melihat kepada perkembangan politik semasa, jika tidak berlaku pertandingan tiga penjuru, tidak mustahil, PN boleh mendapat lebih 130 kerusi, jika kena pada strategi, taktik dan teknik yang betul.

Ketujuh, bagi membolehkan PN untuk menang, kerusi majoriti Melayu (lebih 52 peratus) mesti ditandingi oleh wakil rakyat Melayu, bukannya MCA atau GERAKAN.

Kelapan, untuk kerusi Bumiputera Sabah dan Sarawak, saya fikir, Bumiputera Sabah Sarawak sangat bijak dalam membuat keputusan. Serahkan kepada mereka untuk menentukan. Lagipun mereka sudah kenal siapa ultra kiasu di sana.

Kesembilan, membentuk kerajaan majoriti tipis amat membuang masa. Rakyat sudah muak. Rakyat sudah bersedia untuk PRU15. Jangan biarkan rakyat hidup dalam keresahan. Rakyat mahu hidup aman dalam keadaan ekonomi sejahtera

Kesimpulan, kerajaan majoriti tipis, kerajaan yang tidak stabil, Parlimen menjadi sarkas, masa terbuang, rakyat menjadi mangsa. Segerakanlah pilihan raya demi negara tercinta. Pemimpin yang baik adalah pemimpin yang sentiasa memikirkan rakyatnya bukan perutnya.

Ya, Allah, selamatkanlah negara tercinta ini.

Kepada Speaker baharu, sementara menunggu PRU15, lakukanlah tugas dengan penuh integriti. Pemain-pemain sarkas hendaklah dihalau dari dewan jika mereka tidak lagi menghormati Speaker.

Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah

 

Penafian: Kenyataan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi MYKMU.NET

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker