Amaran Puteri Umno: Awas ‘Oktober berdarah’
Malaysia dijangka akan berdepan “Oktober berdarah” selepas tamatnya moratorium selama enam bulan yang diberikan kepada peminjam terjejas akibat wabak Covid-19, kata Puteri Umno.
Ketuanya, Zahida Zarik Khan, berkata lebih malang lagi jika ramai akan berdepan kehilangan pekerjaan Oktober nanti.
“Saya ingin menyentuh satu perkara saja di dalam kemelut Covid-19 ini yang melibatkan rakyat jelata bila tiba ‘Oktober berdarah’ ini nanti,ini kebimbangan ramai apabila dijangka kadar pengganguran yang pasti akan meningkat mendadak.
“Ia adalah di sebabkan oleh dua perkara utama.Tamatnya moratorium enam bulan bermula 1 April 2020 yang di beri oleh bank-bank ke atas pembayaran balik pinjaman persendirian dan syarikat-syarikat.
“Bantuan subsidi gaji kepada majikan juga akan berakhir pada masa yang sama,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Jelasnya, walaupun perolehan pendapatan syarikat beransur pulih tetapi ia masih tidak sepenuhnya dan dijangka pemberhentian pekerja akan sehingga mencecah dua juta.
Semalam, bekas perdana menteri, Najib Razak meminta bank melakukan pengorbanan dengan melanjutkan tempoh moratorium bagi peminjam.
Najib berkata keputusan itu akan memberikan manfaat kepada bank dalam jangka panjang.
Jadi, inilah masa bank-bank perlu berkorban supaya pelanggan-pelanggan mereka tidak terjejas dan masih mampu untuk mengembalikan keuntungan berbilion-bilion kepada bank pada masa depan apabila krisis Covid berakhir, katanya ketika perbahasan menjunjung kasih titah diraja di Dewan Rakyat.
Kerajaan mengumumkan moratorium pinjaman selama enam bulan dari bulan April hingga September di mana peminjam tidak perlu membayar balik pinjaman mereka dalam tempoh tersebut.
Bank Negara dan bank lain bagaimanapun menyatakan bahawa tempoh moratorium berkenaan tidak akan dilanjutkan.
Mengulas lanjut, Zahida berkata kerajaan perlu memikirkan langkah tambahan segera untuk meringankan impak kepada rakyat terutamanya kumpulan berpendapatan rendah B40
Untuk menggalakkan syarikat-syarikat menambah peluang pekerjaan dalam tempoh enam nulan bermula Oktober nanti, Zahida mencadangkan kerjaan memberi insentif ‘double tax relief’ terhadap gaji yang dibayar kepada pekerja-pekerja baru tersebut.
“Kami juga berpandangan bantuan subsidi upah perlu dilanjutkan tiga bulan lagi, dengan cara ini dapat mengurangkan beban majikan dan secara tak langsung dapat mengurangkan pemberhentian pekerja.
“Walau bagaimanapun kita bersyukur kerana mempunyai kerajaan hari ini yang cekap di dalam menagani pandemic Covid-19 yang melanda negara dan mangambil langkah-langkah pemulihan yang begitu besar berbanding nagara-negara lain,” katanya. Mkini
You must be logged in to post a comment.