Lelaki mengaku tidak bersalah bunuh tiga kucing dalam mesin kedai dobi
Seorang penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan membunuh tiga ekor kucing dengan kejam pada Ahad lalu.
Tertuduh, Muhammad Najwan Zulkefli, 24 tahun, didakwa telah melemaskan haiwan tersebut di dalam mesin basuh di sebuah pusat dobi layan diri di Kepong sekitar jam 5.30 pagi.
Dia mohon dibicarakan sebaik sahaja pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Syafeera Mohd Said pagi ini.
Sementara itu, Pegawai Pendakwa Jabatan Perkhidmatan Veterinar Selangor, N Nageswara memohon kepada mahkamah agar tertuduh dihantar ke Hospital Bahagia Ulu Kinta untuk pemerhatian dan penelitian memandangkan perwatakannya dilihat tidak stabil.
Mahkamah bersetuju membenarkan tertuduh dihantar ke hospital berkenaan bagi menjalani pemeriksaan selama tempoh sebulan.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan tindakan mengikut Subseksyen 29 (1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772) yang memperuntukkan hukuman denda antara RM20,000 dan RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.
Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam, tiba di Kompleks Mahkamah Selayang dengan diiringi pegawai polis.
Mahkamah kemudiannya menetapkan 13 Ogos, 2020 untuk sebutan semula kes.
Dalam kejadian 12 Julai lalu, polis Gombak menerima laporan berhubung kejadian berkenaan pada 9.30 pagi melalui seorang wanita yang menjumpai tiga ekor kucing yang sudah mati di dalam tiga mesin basuh berasingan.
Pada jam 12.15 malam hari yang sama, suspek berjaya dicekup dan direman empat hari. Awani