Isu transgender: Kerajaan bertanggungjawab cegah kemungkaran
GEORGETOWN – Tindakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri yang memberi kuasa penuh kepada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) untuk menangani isu transgender wajar dialu-alukan semua pihak.
Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, adalah menjadi salah satu tanggungjawab kerajaan untuk mencegah kemungkaran agar tidak merosakkan keselamatan dan ketenteraman awam.
Menurutnya, kewujudan golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) yang membawa budaya songsang dilihat sebagai salah satu ancaman terhadap nilai murni oleh setiap agama.
“Kerajaan perlu berusaha bersungguh-sungguh untuk mencegah kemungkaran supaya tidak tersebar luas dalam kalangan masyarakat sehingga boleh merosakkan keselamatan dan ketenteraman awam.
“Kewujudan golongan LGBT termasuk transgender yang membawa budaya songsang di negara ini adalah satu ancaman terhadap nilai murni yang diajar oleh semua agama yang didukung oleh masyarakat timur selama ini.
“Jika budaya negatif ini dibiarkan tersebar secara berleluasa, kita bimbang ia menjadi sejenis wabak yang boleh menyumbang ke arah keruntuhan bangsa dan negara,” katanya ketika menghubungi Sinar Harian hari ini.
Tambahnya, pihak berwajib perlu mencari kaedah yang berkesan untuk membanteras gejala negatif itu daripada terus menular dan merosakkan generasi baharu.
“Negara meletakkan harapan yang tinggi kepada semua generasi muda untuk membangun negara dan bangsa pada masa depan.
“Oleh itu, kerajaan wajar menggunakan apa jua cara dan kaedah yang difikirkan mampu untuk menyelesaikan masalah LGBT ini. Antaranya, menangkap dan memenjarakan mereka yang terlibat dengan aktiviti negatif supaya masyarakat terselamat daripada pengaruh mereka,” katanya.
Wan Salim berkata, gejala songsang tidak boleh dibasmi melalui tindakan undang-undang sahaja, sebaliknya ia perlu disertai dengan proses mendidik atau tarbiah yang berkesan.
“Golongan ini perlu diberi kursus mengikut modul yang dirangka secara khusus dengan bantuan mereka yang mempunyai kepakaran terutama dalam bidang agama, psikologi dan sains sosial,” katanya.
Beliau berkata, pemimpin dan pendidik juga diminta memainkan peranan secara bersepadu dalam menangani isu LGBT di lapangan masing-masing.
SN