Budak lemas di kolam renang ketika ikut ibu minta kerja di resort
Luluh hati seorang ibu apabila anak berusia lima tahun yang dibawanya untuk menghadiri temu duga kerja di sebuah resort di Pantai Merdeka di sini, lemas di kolam renang kawasan berkenaan.
Dalam kejadian jam 2 petang itu, kanak-kanak lelaki berkenaan ditinggalkan oleh ibunya yang berusia 19 tahun bersama anak sulungnya berusia tujuh tahun sementara dia masuk untuk ditemu duga.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah, berkata ibu mangsa mendakwa kedua-dua anaknya dibiarkan bermain berhampiran lokasi dia ditemu duga.
“Tidak lama kemudian, dia mendapati anaknya hilang dari tempat berkenaan dan cuba mencari sebelum menemui mangsa terapung di dalam kolam itu dalam keadaan tidak sedarkan diri.
“Kakitangan resort kemudiannya segera menghubungi ambulans dan mangsa terus dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim untuk menerima rawatan lanjut.
“Setibanya di hospital, doktor mengesahkan mangsa sudah meninggal ketika berada di dalam kolam,” katanya di sini, pada Isnin.
Jelas Adzli, siasatan di lokasi kejadian mendapati jarak antara tempat temu duga dengan kolam berkenaan adalah kira-kira 30 meter dan kawasan itu tidak mempunyai kamera litar tertutup (CCTV).
Katanya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR). Awani