Musa pesan Ayob Khan hati-hati dengan musuh dari dalam dan luar

Musa pesan ketua polis Johor hati-hati dengan ‘musuh dari dalam dan luar pasukan’

Bekas ketua polis negara Musa Hassan menasihatkan ketua polis Johor Ayob Khan Mydin Pitchay untuk menjalankan tugasnya dengan jujur dan tegas ketika berdepan campur tangan politik dalam kes polis.

Namun, Musa (di atas) mengatakan bahawa Ayob juga harus berhati-hati dengan “musuh” dari dalam dan luar pasukan.

“Nasihat saya kepada Dato Ayob KP Johor. Kejujuran dan ketegasan adalah sifat yang mulia.

“Walau demikian Dato (Ayob) perlu berjaga-jaga kerana akan menghadapi ramai musuh dari luar dan dalam pasukan yang akan cuba mengkhianati kerana terbiasa dan merasa tergugat diatas ketegasan Dato,” katanya dalam satu kenyataan di Twitter.

Dalam sebuah wawancara dengan Malaysia Gazette semalam, Ayob (di bawah) memberi gambaran ada pihak yang tidak bersetuju dalam tindakan beliau dan pegawainya menguatkuasakan sesuatu undang-undang dalam kes penangkapan beberapa individu yang dikaitkan dengan kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Ayob berkata campur tangan seumpamanya tidak timbul ketika beliau bertugas di Bahagian Antipenganas (E8) Cawangan Khas Bukit Aman menangani penangkapan beratus-ratus orang anggota Jemaah Islamiah (JI) dan pengikut Darul Islam dan Daesh.

“Tetapi kenapa bila saya tangkap ADUN DAP dalam kes kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE), ia boleh menjadi isu sampai peringkat nak pinda undang-undang sebagainya, ini apa cerita?

“Adakah sebab mereka DAP saya tak boleh ‘sentuh’? Adakah mereka di atas undang-undang? Jadi kena adillah dan jangan campur tangan dalam kerja-kerja polis.

“Kami hanya petugas awam yang akan pencen bila umur mencecah 60 tahun…kami tidak ‘bias’ dan berpihak, kalau sesuatu perkara itu salah dari segi undang-undang, maka salahlah,” kata Ayob seperti dilapor wawancara itu.

LTTE disenaraikan sebagai kumpulan pengganas pada tahun 2014 oleh kerajaan.

Ayob pada masa itu berjanji akan meneruskan siasatan tanpa mengira ada hubungan dengan anggota DAP.

Bekas peguam negara Tommy Thomas akhirnya menghentikan tuduhan keganasan terhadap 12 individu itu awal tahun ini.

Mkini

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker