Keluarga Adib bidas kenyataan IGP, bantah cadangan kaji semula sebab kematian
Keluarga Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim menyatakan bahawa mereka tidak bersetuju dengan cadangan Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador untuk membentuk pasukan petugas baru untuk memeriksa kembali semua aspek kematian anggota bomba berkenaan.
“Perlu ditekankan di sini bahawa Mahkamah Koroner telah pun memberikan dapatannya tentang punca dan sebab kematian arwah Adib.
“Memandangkan keputusan tersebut tidak pernah dicabar oleh mana-mana pihak melalui proses rayuan atau semakan yang sah, maka ia adalah kewajipan pihak polis untuk menjuruskan siasatan bagi mencari siapakah dia “dua atau lebih orang” yang menyebabkan kematian arwah Adib, dan bukannya mempersoalkan semula punca kematiannya lagi sama ada dibunuh atau tidak, sebab hal tersebut telah pun selesai diputuskan mahkamah.
“Justeru itu, kami dengan tegas menolak sebarang keperluan untuk siasatan semula punca kematian kononnya melalui satu “pasukan kajian semula’,” kata keluarga Adib dalam satu kenyataan melalui peguam mereka hari ini.
Abdul Hamid sebelum ini mencadangkan penubuhan pasukan petugas untuk menyiasat semula semua aspek kematian Adib dan mengatakan bahawa pasukan petugas itu akan memusatkan perhatian kepada para saksi.
Abdul Hamid berkata polis akan mencadangkan untuk membentuk pasukan petugas ini kepada Kementerian Dalam Negeri kerana terdapat pendapat yang bertentangan dari dua ahli patologi yang telah melakukan bedah siasat ke atas Adib.
Polis juga telah memanggil 31 saksi dari inkues dan sebanyak 52 saksi baru telah memberikan keterangan mereka, kata Hamid.
Ketua polis negara itu berkata setakat ini, tidak ada seorang pun saksi yang dapat memberitahu polis bahawa mereka melihat Adib dipukul semasa rusuhan itu.
Namun, keluarga Adib menafikan bahawa polis telah memanggil semula semua 31 saksi dari inkues tersebut kerana ayah Adib tidak pernah dipanggil oleh polis untuk mendapatkan keterangannya, selain daripada beberapa saksi utama yang lain.
“Ini menunjukkan sikap tidak bersungguh-sungguh dalam menjalankan siasatan dan sebaliknya memberikan alasan kononnya telah menemui jalan buntu, berbohong kononnya telah ‘exhausted all means’, tanpa mengerahkan usaha yang sebenar-benar untuk mendapatkan keadilan untuk Adib,” kata kenyataan itu.
Keluarga Adib juga mengatakan bahawa tidak adil bagi IGP untuk mengatakan bahawa tidak ada saksi yang dapat mengesahkan Adib dibunuh, atau mengatakan Adib tidak diserang hanya kerana tiadanya sebarang kesan kecederaan mempertahankan diri pada tubuh badannya.
Jelas keluarga Adin, perkara itu telah dijelaskan dalam inkues tahun lalu.
“Dakwaan-dakwaan ini sudah pun dijawab dengan jelas di dalam inkues dan tindakan KPN menimbulkan semula perkara ini menunjukkan PDRM tidak meneliti dan tidak faham kronologi kejadian kes ini, berdasarkan keterangan-keterangan dan bukti-bukti yang ada,” kata mereka.
Adib meninggal dunia di Institut Jantung Negara pada 17 Disember 2018, setelah mengalami kecederaan ketika bertugas di lokasi rusuhan berhampiran Kuil Seafield Sri Maha Mariamman di Subang Jaya kira-kira sebulan sebelumnya.
Pada 27 September tahun lalu, koroner Rofiah Mohamad dalam memberi keputusan telah mengaitkan kematian Adib dengan tindakan jenayah yang dilakukan oleh dua atau tiga penyerang yang tidak dikenali.
Mahkamah juga telah menerima teori bekas ketua forensik Hospital UKM Dr Shahrom Abdul Wahid bahawa Adib mengalami kecederaan parah ketika dia tersepit di antara pintu kenderaan bomba.
Ia menyimpulkan bahawa pintu kenderaan telah beberapa kali menghempap Adib dengan penyerang menendang pintu berulang kali.
Rofiah juga mengatakan bahawa berdasarkan keterangan dan bukti yang dikemukakan oleh saksi, termasuk N Suresh, mahkamah telah menetapkan bahawa sekitar 20 hingga 30 orang telah menyerang mangsa.
Susulan keputusan Mahkamah Koroner, yang diadakan bagi menentukan penyebab kematian Adib, polis telah membuka kembali penyiasatannya terhadap insiden tersebut sebagai siasatan kes bunuh.