Kenyataan Abd Latiff tidak cermin pendirian Bersatu – Ismail Sabri

KOTA KINABALU – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan kenyataan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr Abd Latiff Ahmad bahawa UMNO Sabah tidak lagi laku berupa kenyataan peribadi dan tidak mencerminkan pendirian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Beliau berkata, pemimpin Bersatu khususnya di Sabah juga dilihat tidak pernah memperkecilkan mahupun memburukkan UMNO di negeri itu.

“Kenyataan itu hanya dibuat salah seorang daripada pemimpin Bersatu… kenyataan itu bukan datang daripada Bersatu.

“Di Sabah pun kita tidak dengar pemimpin Bersatu Sabah memperkecilkan kita (UMNO) atau menyahut kenyataan Datuk Latiff itu,” katanya dalam sidang media di sini, malam ini.

Ismail Sabri berkata, kenyataan Abd Latiff itu tidak akan menjejaskan kerjasama antara UMNO dan Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN).

Sebelum ini, media melaporkan Abd Latiff yang juga Ahli Parlimen Mersing daripada Bersatu mengeluarkan kenyataan dilihat memperkecilkan UMNO Sabah dalam sebuah forum terbuka dan video tersebut tular di media sosial.

Bagaimanapun, Abd Latiff telah membuat permohonan maaf secara terbuka dan menyifatkan kenyataan beliau mengenai UMNO Sabah disalah tafsir oleh pihak tertentu.

Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan berkata, UMNO Sabah tidak pernah lemah malah semakin kuat dan ini dibuktikan menerusi kemenangan dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Kimanis pada awal tahun ini.

Sehubungan itu, beliau mahu UMNO Sabah menjadikan sindiran Abd Latiff itu sebagai satu cabaran untuk bekerja lebih kuat, sekali gus memenangi semua kerusi yang ditandingi pada Pilihan Raya Umum ke-15 nanti.

Sementara itu, Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, beliau tidak menyimpan perasaan marah, namun kecewa kerana kenyataan berkenaan keluar daripada pemimpin Bersatu yang bertaraf menteri.

“UMNO Sabah melihat bahawa kenyataan itu tidak seharusnya berlaku kalau kita menghormati rakan dalam kerajaan PN,” katanya. – Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: UMNO parti tak laku: Abdul Latiff digesa letak jawatan

 

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker