Guru Besar terpaksa masuk hutan cari akses internet

DEMI tuntutan tugas, Rabdunieh Jalil yang juga Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Nukakatan, Ranau, Sabah sanggup memandu kenderaan pacuan empat rodanya masuk ke dalam hutan untuk mencari akses Internet bagi menghadiri mesyuarat secara dalam talian.

Kisah Rabdunieh itu tular di laman sosial selepas dikongsikan anak kelimanya, Anis Hanani, 20, di Twitter, kelmarin.

Menerusi ciapan berkenaan, Anis Hanani memuat naik tangkap layar mesej Rabdunieh di kumpulan WhatsApp keluarga dan gambar swafoto bapanya ketika berada di dalam hutan.

Gambar dikongsikan itu menunjukkan Rabdunieh duduk dengan berlatar belakang hutan manakala komputer riba diletakkan di atas kerusi plastik di hadapannya.

Rabdunieh yang mengajar subjek Pendidikan Moral dan Matematik itu berkata, gambar itu diambil pada Rabu lalu dan dikongsikan dengan keluarganya menerusi WhatsApp untuk memaklumkan keadaannya.

“Saya perlu menghadiri mesyuarat dalam talian dengan Bahagian Pengurusan Aset dan Kewangan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) pada Rabu lalu dan ia bermula 9 pagi.

“Namun, tiada akses Internet di sekolah, jadi saya terpaksa menaiki kenderaan pacuan empat roda untuk ke kawasan berbukit di dalam hutan.

“Tidak sempat untuk ke Pekan Ranau kerana perjalanan ke situ saja mengambil masa dua hingga tiga jam,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Rabdunieh berkata, beliau tidak tahu mengenai ciapan anaknya itu sehingga pulang ke rumahnya di Kampung Silou, Ranau, hari ini.

“Saya tinggal di kuarters dan pulang ke rumah seminggu sekali saja iaitu setiap Jumaat.

“Jadi, baru hari ini saya tahu mengenai ciapan anak di Twitter dan terkejut kerana tidak sangka kisah itu akan tular,” katanya yang berkhidmat dalam bidang perguruan sejak 33 tahun lalu.

Sementara itu, Anis Hanani berkata, dia tidak sangka ciapannya di Twitter mendapat perhatian warganet kerana sekadar mahu berkongsi kesungguhan bapanya dalam menjalankan tugas.

“Ayah mengajar di sekolah pedalaman, jadi kami sekeluarga memang tahu akses lnternet di kawasan berkenaan amat terhad.

“Disebabkan itu, saya dan ahli keluarga lain terkejut apabila menerima kiriman gambar ayah di dalam hutan menerusi kumpulan WhatsApp pada pagi hari berkenaan.

“Tak sangka ayah sanggup buat begitu demi tugasnya, tetapi sebagai anak, tentunya saya kagum dengan kesungguhannya,” katanya.
HM

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker