Bapa cuba pukul anak guna tukul ditahan
GEORGETOWN – Seorang lelaki ditahan di Bandar Baru, Ayer Itam di sini selepas dipercayai cuba memukul anak lelakinya menggunakan tukul dalam sebuah lif, pada jam 9 malam tadi.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, lelaki berusia 42 tahun itu ditahan di hadapan kawasan rumahnya dan polis berjaya menyelamatkan mangsa yang berusia lapan tahun itu.
Menurutnya, suspek yang bekerja sendiri itu mempunyai lima rekod lampau melibatkan tiga rekod jenayah dan dua rekod dadah.
“Ujian saringan awal suspek didapati negatif dan dia akan dibawa ke mahkamah untuk permohonan reman bagi siasatan lanjut.
“Ketika kejadian, suspek dan mangsa dari tingkat bawah ke tingkat 16 untuk pulang ke rumahnya. Menurut mangsa, mereka baru pulang dari kedai,” katanya ketika dihubungi tadi.
Soffian berkata, suspek ditahan selepas isterinya yang berusia 37 tahun membuat laporan polis apabila melihat klip video yang diterima dari adiknya berhubung kejadian tersebut.
“Wanita yang juga pekerja kilang itu menerima mesej video yang diambil dari rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dalam sebuah lif perumahan di Farlim dari adiknya, petang semalam. Dia terkejut apabila mendapati dalam video tersebut, suaminya memegang tukul dan cuba memukul anaknya yang dalam ketakutan.
“Wanita yang tinggal di Jelutong itu juga mendapati, suaminya ketika itu seperti dalam keadaan mabuk dan tidak terurus. Dia kemudiannya membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut kerana bimbang dengan keselamatan anaknya itu,” katanya.
Jelasnya, siasatan mendapati, mangsa yang bersekolah darjah dua itu merupakan anak kandung suspek bersama isterinya.
“Wanita itu telah berkahwin dengan suspek sejak 2008 dan hanya mempunyai seorang anak lelaki iaitu mangsa. Bagaimanapun, mereka tidak tinggal bersama sejak empat tahun lalu kerana masalah rumahtangga namun mangsa tinggal bersama suspek.
“Siasatan awal mendapati, ketika kejadian, suspek dipercayai dalam keadaan mabuk. Mangsa akan dibawa ke Hospital Pulau Pinang hari ini untuk pemeriksaan pakar. Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-kanak 2001 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.
SH