Remaja terjun tingkat 11, dipercayai merajuk ibu tidak pulang sambut upacara akil baligh
Seorang remaja perempuan maut selepas dipercayai terjun dari tingkat 11 Pangsapuri Perai Indah, dekat sini pada Khamis selepas dikatakan terlalu sedih apabila ibunya tidak pulang dari Singapura bagi meraikan upacara akil baligh sempena memasuki usia 15 tahun.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 1.57 petang Khamis yang memaklumkan seorang remaja perempuan terjatuh dari bangunan berkenaan.
Shafee berkata, remaja yang juga anak sulung daripada dua adik beradik itu masih bersekolah di Tingkatan Tiga dan tinggal bersama ibu saudaranya.
Ibu remaja berkenaan kini bekerja di Singapura manakala bapanya bekerja di sebuah hotel di negeri ini.
“Remaja berkenaan seorang yang sensitif dan dia terlalu sedih apabila upacara akil baligh yang sepatutnya diadakan terpaksa dibatalkan berikutan ibunya yang berada di Singapura tidak dapat pulang ke majlis berkenaan,” kata Shafee dalam kenyataan hari ini.
“Semasa kejadian adik perempuan remaja itu ternampak kakaknya bertindak terjun dari tingkat 11 dan terus memaklumkan kepada ibu saudaranya,” katanya lagi.
Mayat dibawa ke Hospital Seberang Jaya untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Awani