Remaja 17 tahun jadi mangsa rogol bapa saudara

Seorang remaja perempuan berumur 17 tahun menjadi mangsa rogol kepada bapa saudaranya dalam kejadian di Merotai, Tawau, Sabah sejak dua tahun lalu.

Kejadian itu terbongkar apabila mangsa yang sudah tidak tahan dengan perbuatan keji tersebut bertindak melarikan diri ke rumah saudaranya.

Curiga dengan tindakan melarikan diri serta kemurungan yang dialami mangsa, ahli keluarga remaja berkenaan kemudiannya memujuk dan bertanyakan tentang kejadian yang menimpanya.

Mangsa akhirnya menceritakan kejadian sebenar bahawa dirinya telah dirogol oleh bapa saudaranya berulang kali sejak tahun 2018 lagi.



Sejurus selepas ahli keluarga mendengar cerita mangsa, satu laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau kira-kira jam 10.45 pagi Selasa.

Bertindak atas laporan tersebut, sepasukan anggota dari Balai Polis Bombalai telah menahan suspek di kawasan Merotai, Tawau pada hari yang sama.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Peter Umbuas ketika dihubungi, mengesahkan perkara tersebut.

“Suspek telah dibawa ke mahkamah untuk mendapatkan perintah reman dan suspek direman selama tujuh hari bermula Rabu untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol,” katanya.



Awani

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker