Suntikan vaksin golongan bawah 60-an dijangka selepas Julai

PETALING JAYA: Kebanyakan rakyat Malaysia mungkin boleh menerima vaksin Covid-19 mulai suku tahun ketiga atau sekitar selepas Julai.

“Jika anda dewasa yang sihat berusia bawah 60 tahun dan bukan pekerja barisan hadapan, boleh diandaikan giliran anda akan sampai menjelang Q3 (suku tahun ketiga atau Julai-September) atau selepas itu. Ini sama dengan banyak negara lain,” kata menteri sains Khairy Jamaluddin hari ini.

Khairy berkata, pekerja barisan hadapan dari sektor penjagaan kesihatan dan keselamatan akan diberi vaksin terlebih dulu “diikuti warga emas dan golongan yang mempunyai penyakit kronik. Selepas itu baru kita akan menyuntik masyarakat umum untuk mencapai ambang imuniti kelompok,” katanya di laman webnya.

Menurutnya, Malaysia akan menerima bekalan vaksin Pfizer bulan depan, sejuta dos pada suku pertama dan 1.7 juta, 5.8 juta serta 4.3 juta masing-masing pada suku seterusnya.

‘Malaysia antara paling cepat’ dapat vaksin

Walaupun Singapura dan Indonesia sudah memulakan program vaksin, Khairy berkata jadual suntikan untuk Malaysia masih meletakkan negara ini “antara yang paling cepat” di Asia Pasifik mendapat akses vaksin Covid-19.

Khairy berkata, Jepun memesan vaksin Pfizer pada Julai dan akan menerimanya pada Februari iaitu sekitar masa sama dengan Malaysia,

Korea Selatan pula memesan vaksin Pfizer pada Disember, sebulan selepas Malaysia, dan hanya akan menerimanya pada suku ketiga 2021.

“Bukannya Malaysia lambat menerima vaksin. Ya, kita bukan antara yang pertama… tetapi kita tidaklah ketinggalan,” katanya. “Banyak negara maju sudah menerima vaksin mereka kerana membayar harga tinggi untuk mendapatkannya walaupun sebelum mendapat data mengenai tahap keselamatan dan keberkesanannya.

“Kita membuat keputusan pembelian berdasarkan data klinikal tanpa perlu membayar premium dan pendahuluan tinggi. Dan lebih penting lagi, kita dapat belajar daripada pelaksanaannya di negara lain untuk memastikan keberkesanan kempen vaksin kita.”

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker