Pendidikan Rukun Negara Jadi Agenda Teras – PM
PETALING JAYA: Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mahu pendidikan Rukun Negara dijadikan agenda teras kerajaan demi mengeratkan perpaduan, yang amat penting ketika negara berdepan krisis.
Beliau meminta Kementerian Perpaduan Negara dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia menerajui kempen itu menerusi pelbagai program, inisiatif, dan kegiatan dengan kerjasama badan bukan kerajaan, swasta, dan masyarakat sivil.
Muhyiddin percaya jika usaha bersungguh digembeleng semua pihak, penghayatan prinsip Rukun Negara akan semarak.
“Perpaduan rakyat amat penting lebih-lebih lagi ketika negara kita berhadapan dengan krisis. Saya amat terharu dengan semangat perpaduan yang ditunjukkan oleh seluruh rakyat dalam menghadapi wabak Covid-19 baru-baru ini,” katanya di pelancaran sambutan ulang tahun ke-50 Rukun Negara di Putrajaya hari ini.
Rukun Negara yang diperkenalkan pada 31 Ogos 1970 adalah fahaman kebangsaan yang dibentuk oleh Majlis Gerakan Negara setahun selepas tragedi 13 Mei 1969 yang menjejaskan perpaduan dan ketenteraman negara.
Ia mengandungi 5 prinsip iaitu kepercayaan kepada tuhan, kesetiaan kepada raja dan negara, keluhuran Perlembagaaan, kedaulatan undang-undang, dan kesopanan dan kesusilaan.
Muhyiddin berkata prinsip itu membentuk jati diri warga Malaysia walau apa pun latar belakangnya, menjadi asas kepada identiti diri dan penyatuan bangsa Malaysia.
Prinsip Rukun Negara memberi makna yang mendalam baginya.
“Saudara-saudari tanpa mengira perbezaan kaum, warna kulit, dan status sosial bersama membantu dan melindungi antara satu sama lain sehingga kita berjaya mengatasi krisis ini.
“Jika semangat perpaduan dan saling membantu ini kita teruskan pada masa akan datang, saya yakin kita akan berjaya mengatasi apa sahaja cabaran yang menduga kita di masa depan.”
Muhyiddin bagaimanapun sedar proses pembinaan negara bangsa dalam negara majmuk seperti Malaysia “bukanlah mudah”, mengatakan rakyat tempuhi jalan yang “agak mencabar” untuk sampai di saat ini.
“Banyak ranjau dan duri yang kita tempuhi. Banyak liku dan lurah yang kita lalui,” katanya.
Di majlis hari ini, perdana menteri melafazkan Rukun Negara dan melancarkan lambang rasmi jubli emas rukun itu, serta setem khas 50 tahun Rukun Negara.