Sugu Pavithra cuba sesuaikan diri dengan kehidupan baru di sebalik populariti
Sugu Pavithra dan keluarganya yang terkenal kerana video masakan di YouTube masih cuba menyesuaikan diri dengan populariti mereka.
Pavithra dan suami, M Sugu menambat hati rakyat yang memuji sikap rendah diri dan kefasihan mereka bertutur dalam Bahasa Melayu.
Biarpun pengikut saluran mereka sudah mencecah 765,000 orang, selain turut mendapat perhatian Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, Pavithra juga perlu berdepan kritikan dan isu seperti akaun media sosial palsu.
“Sukar kerana ini situasi baru bagi kami,” katanya dalam seminar dalam talian oleh Google mengenai pemulihan ekonomi.
“Kami tidak pernah menyangka channel itu akan berkembang sebegini besar. Ini berlaku sangat cepat dan mengejutkan kami,” kata Pavithra, yang menganggap ia “anugerah Tuhan”.
“Sebelum ini, kehidupan kami normal dan kami buat apa sahaja yang kami mahukan.
“Sekarang, kami mempunyai banyak komitmen harian tetapi kami menganggapnya sebagai perkara positif.”
Pavithra, yang baru-baru ini gambarnya diambil untuk laman gaya hidup tempatan, berkata dia terpaksa mengupah seorang pengurus kerana terlalu banyak media menghubunginya, malah ada dari India.
Pavithra baru-baru ini menerima anugerah Silver Play Button dari YouTube apabila pengikut saluran mereka mencecah 100,000 orang.
Dia terkejut dengan anugerah itu kerana tidak pernah meletakkan sasaran tertentu.
Walaupun salurannya “semua tentang memasak”, dia dan suami sentiasa terbuka untuk mencuba idea lain.
“Kami selalu memikirkan tentang bagaimana menghasilkan kandungan yang lebih menarik, dan kadang-kadang kami terfikir untuk cipta kandungan selain memasak,” katanya.
“Kami juga baru dalam bidang ini dan kami sentiasa berfikir tentang penambahbaikan.”
FMT
You must be logged in to post a comment.