Imigresen ancam batal pas warga asing jika buat kenyataan tidak tepat.

Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) memberi amaran keras akan membatalkan kelulusan pas yang dikeluarkan kepada warga asing sekiranya mereka mengeluarkan kenyataan tidak tepat dengan tujuan memburukkan imej negara.

Justeru, Ketua Pengarah Imigresen, Khairul Dzaimee Daud, meminta pemegang pas jangka panjang seperti pas penggajian, lawatan kerja sementara dan pas residen supaya berhati-hati semasa mengeluarkan sebarang kenyataan.

“Mereka berdepan risiko pembatalan pas dan akan diminta meninggalkan negara ini serta-merta, jika kenyataan berkenaan tidak tepat dan bertujuan memburuk-burukkan imej Malaysia,” katanya hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dokumentari bertajuk “Locked Up in Malaysia’s Lockdown”yang diterbitkan oleh agensi berita Al Jazeera.

Khairul Dzaimee berkata, laporan mengenai operasi JIM semasa perintah kawalan pergerakan (PKP) yang disifatkan agensi berita antarabangsa itu sebagai rasis dan tidak berperikemanusiaan adalah tidak benar kerana tidak mengambil kira fakta sebenar.

“Operasi imigresen di sekitar Jalan Masjid India di sini pada 1 Mei lepas memeriksa seramai 3,352 warga asing, namun jumlah yang ditahan untuk siasatan lanjut hanya 586 orang.

“Kerajaan Malaysia juga memberi rawatan secara percuma kepada 773 warga asing yang didapati positif Covid-19 di Depot Tahanan Imigresen (DTI) dan terdapat kedutaan asing yang memuji tindakan ini serta mengucapkan terima kasih,” katanya.

Al Jazeera sebelum ini menyiarkan dokumentari berdurasi 25 minit 50 saat yang mengecam layanan terhadap pendatang tanpa izin ketika Malaysia melaksanakan langkah menangani Covid-19.

FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker