Shahril sebut ‘yes’ selepas dijatuhi hukuman penjara hina Agong
Seorang pekerja kilang yang menghina Yang di-Pertuan Agong menerusi laman sosial Instagram pada 1 Mac lepas dijatuhkan hukuman 20 bulan penjara oleh Mahkamah Seksyen di sini hari ini.
Namun apa yang lebih mengejutkan apabila tertuduh bukan sahaja kelihatan begitu ‘gembira’ , malah sempat menyebut ‘yes’ sambil menunjukan ibu jari sebelum meninggalkan bilik perbicaraan sebentar tadi.
Orang Kena Saman (OK), Shahril Mohd Sarif, 37, dijatuhkan hukuman itu oleh Hakim Mahkamah Seksyen, M Edwin Paramjothy selepas dia mengekalkan pengakuan bersalah atas dua tuduhan dihadapinya.
Edwin kemudian memutuskan hukuman penjara 10 bulan di Penjara Kajang bagi setiap pertuduhan dan memerintahkan kedua-dua hukuman berjalan serentak daripada tarikh tangkapan iaitu 2 Mac lepas.
“Ini sudah melampaui kebebasan bersuara lagi apabila menggunakan bahasa kesat, lucah dan mempunyai niat jahat ketika melakukan perbuatan ini,” tegasnya.
Sebelum itu, Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Asyraf Md Kamal juga memohon mahkamah tidak berkompromi serta memberikan hukuman paling tegas dan setimpal terhadapnya.
Ini kerana, pada tahun lepas, OKS pernah melakukan kesalahan sama menghina Yang di-Pertuan Agong menggunakan laman sosial Facebooknya.
Seolah-olah tidak serik langsung, Shahril melakukan kembali kesalahan sama walaupun ketika itu sudah dijatuhi hukuman penjara selama dua bulan.
Hantaran berbaur jelik serta lucah kepada Yang di-Pertuan Agong itu dilakukan pada laman rasmi Instagram Istana Negara ketika siaran langsung istiadat angkat sumpah Perdana Menteri ke-8, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Pertuduhan ini juga dibuat mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1988 dan boleh dihukum penjara selama setahun atau denda atau kedua-duanya sekali. –MalaysiaGazette
You must be logged in to post a comment.