Anwar bukan saja gagal jadi calon PM, juga sebagai Ketua Pembangkang.
Anwar sendiri halang Anwar dari jadi ketua pembangkang berkesan’
Penganalisis, Wong Chin Huat berkata usaha tergesa-gesa PH merampas Putrajaya mungkin berakhir dengan mengesahkan kerajaan PN.
Pakatan Harapan (PH) dan gabungannya telah berusaha untuk merampas kembali Putrajaya setelah pentadbiran mereka runtuh Februari lalu.
Bagaimanapun, usaha tergesa-gesa PH mungkin berakhir dengan mengesahkan kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Ekoran ketegangan gabungan tersebut dalam memilih calon perdana menteri, penganalisis politik Wong Chin Huat berkata kewujudan PH kini dilihat lompong seperti ‘empat parti yang terdesak’.
“Secara ironinya, dengan cuba menyingkirkan PN sebagai kerajaan pintu belakang, (bekas perdana menteri) Dr Mahathir Mohamad, DAP, Amanah dan Warisan mungkin akhirnya membantu meletakkan PN menerusi pintu depan,” katanya kepada Malaysiakini hari ini.
Meskipun PH mendakwa mempunyai sokongan yang cukup di Dewan Rakyat untuk merampas kembali Putrajaya, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dapat mematahkan cubaan itu dengan mengadakan pilihan raya mengejut yang berkemungkinan menyaksikan PH dan gabungannya kalah teruk.
Pemimpin Umno gesa PRU15 mengejut
Bukan hanya itu saja, Umno dan PAS juga mendapat manfaat lebih besar daripada pilihan raya itu.
“Kenapa pula Muhyiddin perlu mengalah dengan PH Plus dan tidak meminta untuk membubarkan (parlimen)?
“Dari kedudukan Umno dan PAS, pilihan raya mengejut adalah pilihan terbaik, di mana mereka –dengan atau tanpa sokongan Bersatu kem Muhyiddin – boleh menang 90 ke 100 kerusi.
“Meskipun masih kurang dari majoriti, ia jauh dari 57 (kerusi Umno tambah PAS) kini,” kata Wong.
Beberapa pemimpin Umno telah menggesa supaya mengadakan pilihan raya mengejut, antaranya Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri, Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan, Ahli Parlimen Padang Terap Mahdzir Khalid dan Ahli Parlimen Padang Rengas Nazri Aziz.
Kesemua mereka menyebut faktor ketidakstabilan dan ketidaktentuan di dalam kerajaan PN sebagai hujah menggesa PRU mengejut diadakan.
PH Plus kini berdepan kebuntuan dalam pemilihan calon perdana menteri, dengan pilihan calon antaranya bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, Presiden PKR Anwar Ibrahim dan calon terkini Presiden Warisan Shafie Apdal.
Bagaimanapun, calon perdana menteri itu tidak bermakna tanpa sokongan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang mempunyai sejumlah 18 anggota parlimen, kata Wong.
Menurutnya, GPS secara konsisten telah menyatakan sokongan mereka kepada Muhyiddin dan tanpa alasan kukuh, tidak mungkin bagi parti itu untuk mengubah sokongan mereka kepada PH Plus.
Dr M ambil risiko, kenapa Amanah, DAP ikut?
Meskipun PH dapat meraih sokongan GPS, kata Wong gabungan tersebut masih perlu mendapat sokongan sejumlah ahli parlimen Umno dan ahli parlimen Bersatu untuk menghalang sebarang gesaan pilihan raya mengejut dengan menggunakan nama Melayu dan Islam.
“Jika PH sekarang sudah rapuh dan tidak stabil, saya tidak nampak mengapa mereka perlu membentuk kerajaan yang kemudian akan melihat PH akhirnya tumbang dan berdepan pilihan raya mengejut yang mana pengundi Melayu mungkin akan menghukum mereka,” katanya.
Wong juga berkata daripada 23 ahli parlimen Umno dan Bersatu yang tidak berdepan pertuduhan rasuah, 15 daripada mereka mempunyai jawatan GLC, yang menyebabkan mereka mungkin tidak akan melompat parti.
Ia mungkin risiko yang boleh diterima oleh Mahathir yang berusia 95 tahun tahun ini tetapi mengapa DAP dan Amanah juga mahu berdepan risiko ini, soal Wong.
“Usaha PH Plus untuk mengambil alih kuasa mungkin berakhir dengan pilihan raya mengejut yang akan menguatkan kedudukan Umno dan PAS untuk lima tahun.
“Melihat kepada usia emas Mahathir, memadai (bagi beliau untuk) mempertaruhkan situasi politik PH Plus dengan pilihan raya mengejut yang kemungkinan kemenangan itu hanya satu peratus. Ia adalah cubaannya yang terakhir.
“Mengapa DAP dan Amanah, yang masih akan ada lama lagi, mengambil risiko ini? Saya keliru,” katanya.
Mahathir juga menggesa untuk merampas kembali sekarang kerana menunggu untuk pilihan raya akan datang akan menyebabkan beliau kalah dalam pertempuran politiknya dan Muhyiddin akan menang, tambahnya.
Pada masa sama, Wong berkata Anwar perlu menanggung tanggungjawab dengan situasi kini, kerana beliau telah gagal sebagai ketua pembangkang parlimen untuk memimpin pembangkang dalam semak dan imbang terhadap kerajaan PN serta mengerahkan pandangan umum terhadap pendakwaan terpilih yang masih berlangsung.
Katanya lagi, sebagai ketua pembangkang, Anwar seharusnya membentuk kabinet bayangan, walaupun hanya sebahagian dengan ahli parlimen PKR kanan sekiranya parti-parti lain di PH Plus tidak berminat.
Anwar boleh salahkan Dr M halangnya jadi PM tapi…
Kabinet bayangan itu, jelas Wong sepatutnya menimbulkan cadangan dasar alternatif terhadap wabak Covid-19 dan dampak ekonomi daripada terus menyerang isu kerajaan PN tidak sah.
“Anwar sepatutnya tidak menghiraukan permainan psikologi PM kesembilan dan melaksanakan tugasnya sebagai ketua pembangkang.
“Beliau boleh salahkan Mahathir kerana menghalangnya untuk jadi perdana menteri, tetapi hanya Anwar sendiri yang telah menghalang Anwar daripada menjadi seorang ketua pembangkang parlimen yang efektif.
“Jika tidak boleh membuat barisan kabinet bayangan, bagaimana kita tahu yang kamu (Anwar) boleh memimpin kabinet sebenar,” kata Wong.
Mkini
You must be logged in to post a comment.