Penyampaian secara digital berkesan bantu calon BN sampai mesej kepada pengundi
PEKAN, 26 Jun — Penyampaian dan penerangan secara digital yang digunakan Barisan Nasional (BN) sewaktu kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini amat berkesan dalam membantu calonnya Mohd Sharim Md Zain.
Ketua Penerangan UMNO Shahril Sufian Hamdan berkata jentera kempen telah melakukan beberapa langkah awal bagi memastikan segala mesej dan maklumat dapat disalurkan kepada pengundi di kawasan DUN itu.
Beliau berkata tidak kurang daripada tiga trak bergerak yang dihiasi skrin LED dan sistem siar raya digunakan BN dalam usaha menyampaikan mesej memperkenalkan calon BN di ceruk-ceruk kampung.
”Sebenarnya penyampaian secara digital itu ada kesan yang besar di bumi Chini ini. Jadi kita dah mula dengan video-video pendek serta infografik disampaikan mesej secara langsung dan rakaman yang akan meyakinkan rakyat.
“Bentuk penyampaian itu bukan hanya boleh memenangkan calon BN malah kita bakal memperoleh majoriti dengan jurang kemenangan yang besar,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas menyertai kempen calon BN bertemu penduduk setempat di sekitar Salong, Chini hari ini.
Mengakui jentera BN berhadapan cabaran mematuhi prosedur operasi standard (SOP) khas ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada awalnya, Shahril berkata kempen BN menerusi penggunaan trak itu akan menjadi perintis kepada mana-mana pilihan raya di negara ini sekiranya pandemik COVID-19 masih berlarutan.
“Ini semua eksperimen bagi kita. Ia julung kali dilakukan dan rupa-rupanya kita betul-betul bergantung harap terhadap kaedah yang baru ini dalam mematuhi SOP, mungkin PRK kali ini ada hikmah diadakan.” katanya.
— BERNAMA