Perlukah Muhyiddin, Bersatu kembali ke pangkuan Umno?

Kemelut dalaman Bersatu dan kekuatan parti serpihan Umno itu menjadi perhatian, terutamanya dari keupayaannya mempertahankan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dibentuk bersama sekutunya Umno, PAS, GPS dan parti dari Sabah.

Ketika Umno dan BN memperkatakan tentang kesediaan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15, keupayaan Bersatu menjadi tanda tanya apakah parti pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin itu ampuh untuk mempertahankan penguasaannya.

Maka, ada suara-suara yang meminta supaya perdana menteri yang juga bekas timbalan presiden Umno itu kembali ke pangkuan parti dominan orang Melayu terbabit.

Bahkan beberapa pemimpin Bersatu sendiri mendedahkan bahawa terdapat pelawaan daripada pucuk pimpinan Umno supaya Bersatu kembali semula bersama Umno.

Apakah ada keperluan untuk Bersatu berbuat demikian, apakah ajakan itu masih relevan dalam situasai politik ketika ini?

Jika diukur dari segi kekuatan, memang tidak dapat dinafikan Umno masih lagi sebuah organisasi yang kukuh dan utuh meskipun dilanda badai pada PRU14 lalu.

Umno adalah sebuah organisasi politik yang teratur dan lengkap dari akar umbi sehinggalah kepada pucuk pimpinannya. Ia memiliki sistem pengurusan yang sistematik.

Kekuatan akar umbi

Muhyiddin perlu memikirkan pencaturan politik dan juga partinya, jika Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) ingin terus relevan menerajui negara.

Sesuatu yang perlu diakui tanpa Umno dan PAS untuk menghadapi PRU15, Bersatu tidak memiliki kekuatan. Kekuatan dari segi jentera dan organisasi yang tersusun sehingga ke akar umbi.

Bahkan, Bersatu yang digerakkan bersama bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad sebelum ini, tidak mempunyai kekuatan akar umbi, ataupun jumlah cawangan seperti Umno.

Pada PRU14 lalu, Bersatu perlu akui selain daripada faktor penolakan terhadap BN masa itu serta dibantu dengan aura Mahathir pada ketika itu, kekuatan jentera mereka bergantung kepada DAP dan PKR.

Jika mengambil kira semua itu, untuk menghadapi PRU15, Bersatu memerlukan Umno dan juga PAS. Dua parti ini mempunyai kekuatan jentera pilihan raya yang Muhyiddin sedia mengetahuinya.

Agihan kerusi pastinya akan timbulkan satu lagi polemik jika Bersatu dan Umno akan bekerjasama sebagai satu pasukan dalam PRU15 nanti.

Umum mengetahui, kekuatan Bersatu hari ini disebabkan tindakan wakil rakyat Umno dan PKR yang bertindak keluar parti.

Apakah Umno sedia untuk melepaskan kerusi tradisi mereka yang dimenangi dalam PRU lalu kepada Bersatu?

Ini semua perlu diambil kira oleh Bersatu untuk mengekalkan survivalnya.

Isu sensitif

Umno dengan memomentum yang dimilikinya selepas PRU14 melalui kerjasama dengan PAS dalam Muafakat Nasional berkemungkinan besar akan memperoleh sokongan padu di kerusi majoriti Melayu.

Pun begitu ada ura-ura mengatakan bahawa Umno telah bersedia untuk “berkorban” dan memberi laluan untuk Bersatu bertanding di kerusi tradisi mereka.

Muhyiddin perlu memikirkan kedudukannya dan juga Bersatu, jika perlu untuk kembali ke pangkuan Umno dan membubarkan Bersatu bagi menyelamatkan kedudukannya dan menguatkan parti Melayu, tidak ada salahnya untuk beliau kembali bersama Umno.

Bahkan Muhyiddin sudah begitu lama dalam Umno sebelum dipecat, Umno bukan sesuatu yang asing bagi beliau.

Cuma persoalannya, apakah pemimpin Bersatu yang berada di tampuk kuasa ketika ini sedia untuk menjadi anggota biasa dalam Umno, begitu juga dengan kesediaan Umno untuk menerima bekas timbalan presiden PKR Mohamed Azmin Ali dan pasukannya.

Isu ini tampak sensitif untuk dibincangkan, bahkan pemimpin kedua-dua parti bila dihubungi kurang senang untuk mengulas mengenai perkara ini.

Bagaimanapun hala tuju parti dan PN perlu difikirkan sekarang agar bahtera yang ketika ini belayar di tengah lauatan tidak rosak dilanda badai dalam PRU15 nanti.

Mkini

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker