PKR belum terima pemakluman rasmi Dr Afif

Share

SHAH ALAM – Parti Keadilan Rakyat (PKR) belum menerima sebarang makluman berhubung penyertaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, Dr Afif Bahardin ke dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Pengarah Komunikasinya, Fahmi Fadzil berkata, beliau hanya mengetahui perkara tersebut melalui laporan media.

“Setakat ini saya tidak dimaklumkan sama ada parti (PKR) ada menerima apa-apa surat pemakluman rasmi daripada Afif sendiri berkenaan status beliau.


“Afif juga tidak menghubungi atau memaklumkan apa-apa kepada saya, jadi saya tidak pasti tentang status terkini keanggotaan beliau,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

ARTIKEL berkaitan : Afif tinggalkan PKR

Fahmi berkata, beliau perlu meneliti perkara tersebut dan setelah parti bermesyuarat dalam masa terdekat, PKR akan memaklumkan pendirian berhubung perkara tersebut.


Sebelum itu, Dr Afif akan duduk sebagai wakil Bersatu pada sesi sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang pada November ini.

Dr Afif membuat keputusan itu selepas beliau diletakkan di bangku pembangkang pada sidang DUN berkenaan.
“Saya akan mewakili Bersatu dalam Sidang DUN Pulau Pinang. Kerajaan negeri (Pulau Pinang) sudah menjadikan saya sebagai ADUN pembangkang sejak Mac,” katanya ringkas kepada Sinar Harian.

Afif bagaimanapun tidak menyatakan dengan jelas sama ada beliau sudah menyerahkan borang secara rasmi untuk menyertai Bersatu.


Bagaimanapun, Selasa lalu beliau dilaporkan bertemu Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk memaklumkan kepada Presiden Bersatu itu bahawa pada sesi sidang DUN Pulau Pinang pada November ini, beliau akan duduk di kerusi pembangkang.

Umum mengetahui Dr Afif merupakan penyokong kuat bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Pada 14 April lalu, PKR menggantung Afif yang juga bekas Timbalan Ketua Pemuda PKR itu sementara menunggu siasatan oleh lembaga disiplin parti.

Keputusan menyiasat Afif dibuat selepas Azmin bersama kumpulannya bertindak keluar parti.

Pada 4 Mac lalu, Afif meletak jawatannya sebagai Exco Kesihatan Pulau Pinang.

Peletakan jawatan itu berlaku selepas Afif menegaskan bahawa beliau akan kekal dalam parti dan komited kepada Pakatan Harapan (PH) yang memenangi mandat untuk mentadbir Pulau Pinang dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

ARTIKEL berkaitan : Dr Afif sedia jadi wakil rakyat Bersatu

SH

Leave a Reply