Lupakan Mahathir, Lupakan Anwar. Utamakan Rakyat– Dr Shamsul Anuar
Menteri Tenaga Dan Sumber Asli, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berpandangan rakyat hari ini tidak mahu mengambil kisah soal Tun Dr Mahathir Mohamad dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang masih berbicara soal siapa calon Perdana Menteri sebaliknya rakyat mahukan kepentingan dan kebajikan mereka terbela.
Menurut beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, sektor ekonomi negara dan pelbagai keperluan lain hari ini mestilah dibangunkan semula selepas negara dan dunia dilanda wabak Pandemik COVID-19.
“Di kementerian saya, kita telah berbincang dengan para pegawai untuk ‘berlari’ dengan pantas dengan segala SOP kerja kita yang buat dahulu kalau perlu diperbaiki, kita perbaiki dan birokrasi perlu dikurangkan dan kita nak cepat. Segala proses perlu dipercepatkan kerana kita nak bangkit semula. Kalau kita masih terkebelakang akan merugikan kita. Rakyat perlu dibantu dan ini yang perlu dilakukan sekarang.
“Rakyat tidak mahu dengar Tun Dr Mahathir mahu jadi Perdana Menteri lagi… Anwar mahu jadi Perdana Menteri … orang tidak mahu dengar ini. Rakyat mahu nasib mereka dibantu dan itu yang sedang dilakukan oleh kerajaan. Sebab itu kita tubuhkan Pelan Jana Semula Sekonomi Negara (PENJANA)… tubuhkan itu dan ini. Kita akan buat yang lebih baik kerana ketika ini rakyat dah letih.
“Selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) politik negara sentiasa bergelora dan akhirnya rakyat tertinggal ke belakang. Saya yakin dan percaya rakyat di luar sana mahu nasib mereka terbela dan sebab itu Perdana Menteri sendiri selalu sebutkan bahawa rakyat mesti kita utamakan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian menerusi ‘Segmen PENJANA’ yang disiarkan secara langsung menerusi UMNO-Online, malam tadi. Segmen berkenaan yang mengupas topik ‘PENJANA: Melestari Kehidupan Rakyat’ dihoskan oleh Datuk Dr Noor Azizan Abdul Majid.
Dr Shamsul Anuar yang juga Ahli Palimen Lenggong seterusnya menambah apa yang disebutkan oleh mereka kononnya ada jumlah angka tertentu Ahli Parlimen yang menyokong Pakatan Harapan (PH) untuk mengambil kerajaan hari ini adalah semata-mata untuk memastikan bahawa kewujudan mereka dirasai.
“Kenapa PH menyebut pelbagai perkara… sudah ada nombor 129… itu semuanya untuk pastikan bahawa kewujudan mereka dirasai oleh rakyat. Sebab itu sewajarnya kalau dah ada 129 menghadaplah Kebawah Duli Yang di-Pertuan Agong dan tidak perlu tunggu sidang dewan.
“Tetapi mereka buat begitu untuk memastikan kehadiran dan kewujudan mereka dirasai kerana hari ini orang sudah mendapat pelbagai nikmat di bawah Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan didokong oleh parti-parti politik yang ada hari ini. Jadi rakyat dapat membuat perbandingan bahawa kerajaan hari ini lebih baik daripada kerajaan dahulu.
“Bayangkan kalau Tun Dr Mahahthir masih menjadi Perdana Menteri saya percaya tidak akan ada diskaun bil elektrik hari ini. Menteri dahulu dia denda kepada TNB. TNB bayar kepada kerajaan. Kita bila ada masalah kita beritahu TNB sumbangkan kepada kerajaan untuk kita berikan kepada rakyat. Beza pendekatan berkenaan. Itu bezanya. Jadi hari ini rakyat nampak selesa.” katanya.
Tambah Dr Shamsul Anuar lagi kerajaan hari ini juga adalah kerajaan yang ‘gentleman’ malah sidang Parlimen juga mengikut peraturan.
“Saya cukup yakin orang bercakap apa akan jadi bulan lima sebelum ini akan ada sidang parlimen, undi tidak percaya dan sebagainya lagi termasuklah Tun Mahathir telah menghantar surat dan akhirnya berlaku sidang dengan begitu tertib dan sebagainya lagi. Saya nak sebut bahawa kerajaan hari ini ‘gentleman’.
“Saya cukup yakin bahawa kita ada formula dan membolehkan kita melalui proses sidang ini dengan tertib kerana rakyat di luar sana mahu nasib mereka dibela. Tidak mahu dah cerita-cerita berebut jawatan calon Perdana Menteri. Bukan rebut jawatan Perdana Menteri… berebut jawatan calon PM. Calon pun dah berebut. Bayangkan kalau itu rupanya kerajaan yang nak diangkat semula cukup-cukuplah 22 bulan menderita nak angkat balik kerajaan dahulu menggantikan kerajaan hari ini.
“Namun sedemikian UMNO dan BN khususnya sebagai sebuah parti politik dalam keadaan apa sekalipun mesti bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan samaada pilihan raya akan berlaku sampai habis tempoh penggal ini atau besok, lusa sebagai sebuah parti politik kita mesti membuat persediaan dalam semua keadaan. Itu yang harus kita lakukan,” tambahnya lagi. – UMNO Online