Cebisan tubuh bayi dalam lubang najis

CEBISAN tubuh seorang bayi lelaki dipercayai dilahirkan awal bulan ini ditemukan dalam lubang kumbahan najis di sebuah rumah di Kampung Kandang di Melaka, petang tadi.

Bayi malang berusia antara lima hingga tujuh bulan itu dipercayai sudah meninggal dunia ketika dilahirkan di sebuah rumah di Taman Perkota Bukit Baru, di Melaka sebelum dibuang dalam lubang berkenaan yang terletak di belakang sebuah rumah di kampung itu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka, Asisten Komisioner Mohd Nor Yhazid Idris berkata, penemuan cebisan anggota badan bayi berkenaan adalah hasil laporan seorang pengurus pengawal keselamatan di sebuah kilang di Batu Berendam, jam 9.30 pagi tadi.
–– ADVERTISEMENT ––

Menurutnya, pengurus lelaki terbabit memaklumkan, seorang kakitangan wanita kilang terbabit berusia 23 tahun, memakan sejenis ubat yang dibeli menerusi laman Facebook bertujuan untuk menggugurkan kandungan sebelum melahirkan anak di rumah sewanya.



Katanya, bayi yang sudah tidak bernyawa ketika dilahirkan itu, kemudian diserahkan kepada teman lelakinya berusia 25 tahun yang bekerja di sebuah kilang lain, pada sebelah malamnya.

“Wanita yang berasal dari Sungai Rambai, Jasin, juga memaklumkan beliau tidak pasti sama ada teman lelakinya menanam atau membakar (mayat) bayi terbabit.

“Susulan itu, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka dan Pasukan Forensik IPK Melaka melakukan pemeriksaan di rumah sewa wanita itu sebelum ditunjukkan tempat bayi itu dilahirkan.

“Hasil pemeriksaan di tempat kejadian mendapati tempat bayi itu dilahirkan adalah dalam tandas berdekatan bilik di rumah itu manakala tempat kejadian seterusnya adalah di bilik tidur suspek,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.



Katanya, hasil soal siasat ke atas kedua suspek, membongkar lokasi mayat bayi itu dibuang.

“Polis dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) hanya menemui cebisan tubuh bayi berkenaan dan kita masih mengesan beberapa lagi bahagian tubuhnya,” katanya.

Katanya, polis merampas telefon bimbit suspek untuk siasatan lanjut, selain menahan wanita serta teman lelakinya itu untuk membantu siasatan.

“Polis akan mendapat perintah tahanan reman ke atas suspek lelaki berkenaan esok, manakala suspek wanita pula akan direman selepas selesai menjalani pemeriksaan kesihatan di Hospital Melaka,” katanya.



Kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan membuang mayat dan boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

HM

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker