3 pegawai imigresen ditahan terbabit seludup warga asing di Johor

Polis menahan seorang pegawai kanan dan 2 pegawai Jabatan Imigresen yang disyaki terlibat dalam sindiket penyeludupan warga asing.

Mereka yang berusia 30 hingga 48 tahun itu ditahan di Terminal Feri Pasir Gudang, di sini, semalam.

Ketua Polis Johor, Ayob Khan Mydin Pitchay berkata sindiket itu disyaki menyediakan perkhidmatan cap palsu keluar masuk Jabatan Imigresen untuk kegunaan warga asing yang menggunakan pas lawatan sosial tamat tempoh sebelum perintah kawalan pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.

Berdasarkan siasatan, katanya, kadar bayaran RM1,500 sehingga RM2,500 dipercayai dikenakan bagi setiap warga asing.

“Setibanya di Terminal Feri Pasir Gudang, pergerakan warga asing yang menggunakan cap disyaki palsu itu akan diuruskan pegawai imigresen yang bersekongkol dengan sindiket bagi menguruskan pergerakan pulang ke negara asal (Indonesia).”

Beliau berkata, kegiatan sindiket penyeludupan keluar warganegara Indonesia melalui Terminal Feri Pasir Gudang ke Batam Center, Indonesia, bergiat aktif sejak awal Mei lalu semasa kerajaan melaksanakan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB).

Mereka kini disiasat di bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 dengan mengguna pakai prosedur siasatan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012.

Selain mereka, katanya, seorang polis marin berumur 41 tahun yang bertugas di Markas Operasi Pasukan Marin, Putrajaya turut ditahan pada 19 Jun lalu kerana disyaki terlibat dengan kegiatan sindiket penyeludupan warga asing sejak 2017.

Beliau berkata, suspek terbabit kini disiasat di bawah Seksyen 130V hingga 130ZB Bab 6B Jenayah Terancang Kanun Keseksaan dengan menggunakan prosedur siasatan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012.

Dengan penahanan semua suspek baru itu, katanya, pihaknya secara keseluruhan sudah menahan 14 pegawai dan anggota polis, 5 (anggota tentera) serta 3 (pegawai Jabatan Imigresen) yang dipercayai bersekongkol dengan sindiket penyeludupan warga asing, khususnya di pantai timur Johor.

FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker