Kadar faedah turun lagi
KADAR faedah memainkan peranan penting dalam sistem kewangan. Sebagai faktor utama dalam menentukan daya tarikan aset di seluruh dunia, ia dipantau dengan rapat oleh penganalisis, ahli ekonomi serta pelabur.
Bagaimanapun, ketika pandemik Covid-19 menjejaskan dengan teruk ekonomi global dan menyebabkan banyak negara jatuh ke dalam kemelesetan, bank pusat di seluruh dunia mengambil langkah menurunkan kadar faedah untuk meningkatkan perbelanjaan pengguna serta mudah tunai kewangan.
Jadi, bagaimanakah sebenarnya cara ia berfungsi?
Kita ambil contoh pinjaman perumahan. Biasanya, kadar faedah ke atas gadai janji berada antara 4.0 peratus dan 4.5 peratus, bergantung kepada bank, tetapi apabila bank pusat menurunkan kadar, pinjaman menjadi murah dan dengan itu lebih berpatutan.
Sehubungan itu, pengguna akan mempunyai wang tambahan yang membolehkan mereka membelanjakannya dan seterusnya membantu menyokong pertumbuhan ekonomi.
Bagaimanapun, perlu diketahui bahawa penurunan kadar faedah hanya berfungsi sebagai langkah tambahan oleh kerajaan untuk meningkatkan ekonomi.
Memandangkan pandemik itu sudah menjadi krisis global, kerajaan di seluruh dunia menyuntik trilion dolar ke dalam ekonomi masing-masing dalam pelbagai bentuk seperti bantuan kerajaan, subsidi upah, pemotongan cukai dan moratorium.
Di Malaysia, kerajaan memperkenalkan dua pakej rangsangan ekonomi iaitu Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) bernilai RM260 bilion dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) yang bernilai RM35 bilion bagi menjana semula ekonomi tempatan.
Ketua Ahli Ekonomi Ambank Group Dr Anthony Dass berkata, terdapat kemungkinan besar Bank Negara Malaysia (BNM) mengurangkan 50 mata asas lagi Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada Julai depan.
“Pengurangan itu akan memberi lonjakan yang diperlukan bagi pemulihan ekonomi berikutan penularan Covid-19.
“Ini akan membantu menstabilkan ekonomi negara selain mendorong kejayaan pakej rangsangan ekonomi termasuk pelan Pemulihan Ekonomi Negara,” katanya.
Dass yang juga anggota Sekretariat Majlis Tindakan Ekonomi, juga menyifatkan tindakan mengurangkan OPR itu sebagai bertepatan ketika kerajaan menyasarkan untuk mendapatkan pinjaman berjumlah RM35 bilion menerusi pinjaman dalam negara bagi membiayai peningkatan defisit.
“Mudah tunai dalam pasaran pinjaman tempatan mencukupi ketika ini. Selain itu, tiada sebarang tekanan inflasi pada masa ini,” katanya.
Langkah pengurangan 50 mata asas kepada 2.0 peratus pada Mei lalu menjadikan OPR Malaysia yang terendah sejak Krisis Kewangan Global pada 2008-2009.
Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) akan mengadakan mesyuarat keempatnya pada 7 Julai depan.
Seorang lagi penganalisis berkata, langkah pengurangan OPR yang akan diputuskan pada mesyuarat itu juga dijangka dapat merangsang mudah tunai kewangan dalam suku akan datang berikutan kadar pengangguran yang kian meningkat akibat impak Covid-19.
“Sejajar dengan jangkaan Bank Dunia dan BNM mengenai kemelesetan pada tahun ini akibat pandemik global itu, adalah penting untuk memastikan pengguna mempunyai mudah tunai mencukupi bagi mengelak kuasa beli mereka terjejas selain membolehkan perniagaan terus beroperasi,” katanya. – Bernama
You must be logged in to post a comment.