Tidak putus asa buru Jho Low

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan berputus asa memburu ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low. Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador menegaskan, walaupun gagal membawa pulang ahli perniagaan kontroversi itu sebelum penghujung tahun lalu seperti yang dijanjikan tetapi usaha polis tidak pernah terhenti.

“Saya mengakuinya… saya gagal tetapi itu tidak bermaksud saya telah berhenti (usaha untuk membawanya kembali ke muka pengadilan),” katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.Beliau berkata, pihaknya mengetahui lokasi Jho Low bersembunyi namun ada kekangan tertentu yang menghalang untuk membawanya kembali ke tanah air.

“Sebelum ini, ada laporan sebuah agensi berita luar negara yang mendakwa ahli perniagaan itu berada di Kuwait tetapi hasil semakan mendapati beliau pernah berada di negara itu pada 2016. Jika dia berani, dia harus keluar dari tempat persembunyiannya,” katanya.

Pada Mei tahun lalu, Abdul Hamid memaklumkan pihaknya sudah menemui petunjuk positif dalam gerakan memburu Jho Low yang didakwa terlibat dengan isu penyelewengan dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Dalam kenyataan Abdul Hamid sebelum ini memaklumkan pihaknya kecewa dengan pihak berkuasa negara yang kini dipercayai menjadi lokasi persembunyian Jho low.

Beliau mendakwa tindakan ‘tidak ikhlas’ pihak berkuasa negara itu menyukarkan PDRM mendapatkan Jho Low.

Abdul Hamid telah menghubungi rakan sejawatnya di negara itu tetapi tidak berhasil.

“Kita telah menulis surat beberapa kali dan bertemu dengan mereka untuk memberi maklumat berkaitan Jho Low namun mereka mendakwa ahli perniagaan itu tiada di negara tersebut,” katanya.

Sebelum ini, Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat mendakwa sekurang-kurangnya AS$4.5 bilion (RM18.9 bilion) telah disalahgunakan daripada 1MDB.

Jho Low dituduh sebagai dalang transaksi wang haram yang disalurkan dari syarikat pelaburan negara itu.

SH

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker