PRK Chini: 2 Calon Bebas Hadapi BN
PRK CHINI | Pilihan raya kecil (PRK) Chini menyaksikan pertandingan tiga penjuru melibatkan calon BN, Mohd Sharim Md Zain, 41, menentang dua calon bebas.
Pegawai pengurus pilihan raya, Zaliza Zulkipli mengumumkan pencalonan Mohd Sharim di samping bekas timbalan ketua Bersatu bahagian Pekan, Tengku Zainul Hisham Tengku Hussin dan penulis blog, Mohd Shukri Mohd Ramli pada penamaan calon pagi ini.
Proses penamaan calon yang diadakan di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Pekan, Pahang itu disaksikan oleh Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun dan timbalan Pengerusi SPR Azmi Sharom.
Proses pencalonan yang bermula pada pukul 9 pagi itu turut disiarkan secara langsung oleh SPR.
Mohd Sharim dilihat memakai baju Melayu berwarna biru, sementara Tengku Zainul Hisham, yang keanggotaannya dalam Bersatu dibatalkan kerana bertanding sebagai calon bebas, dilihat memakai baju Melayu dengan warna merah parti itu.
Sementara itu Bernama melaporkan, Tengku Zainul Hisham yang menggunakan simbol rumah menjadi individu pertama mengemukakan borang pencalonan tepat pukul 9.00 pagi.
Mohd Sharim, generasi kedua Felda Chini, yang juga Pengerusi Majlis Belia Felda Wilayah Kuantan, menjadi individu kedua mengemukakan borang pencalonan pada 9.01 pagi bagi mempertahankan kerusi DUN BN itu.
Pencalonan Mohd Sharim disokong Timbalan Yang Dipertua PAS Pekan, Mohd Fadhil Noor Abdul Karim, yang juga calon PAS yang tewas bertanding di kerusi itu kepada calon BN pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lepas.
Mohd Shukri, yang juga seorang penulis blog, menggunakan simbol kunci dan mengemukakan borang pencalonan pada 9.04 pagi.
SPR menetapkan 30 Jun sebagai tarikh pengundian awal.