PRK DUN Chini: SPRM buka dua bilik gerakan

KUALA LUMPUR, 20 Jun — Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini membuka dua bilik gerakan bagi membolehkan orang ramai menyalurkan maklumat serta aduan jika berlaku sebarang perbuatan rasuah atau salah guna kuasa pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini.

SPRM menerusi kenyataan hari ini memaklumkan bilik gerakan yang beroperasi pada waktu pejabat itu ditempatkan di Kompleks SPRM Pahang, Bandar Indera Mahkota, Kuantan.

“Satu lagi bilik gerakan ditempatkan di Pejabat Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Kampung (JKKK) Felda Chini Satu di Pekan, Pahang, dan ia beroperasi 24 jam.

“Orang ramai juga boleh menyalurkan sebarang aduan rasuah dan salah guna kuasa melalui talian Hotline PRK Chini 013-5485988/09-5716000 atau e-mel kepada [email protected],” menurut kenyataan itu.



Sehubungan itu, SPRM menasihatkan semua calon dan parti politik yang bertanding supaya mematuhi undang-undang dan peraturan pilihan raya, selaras dengan Akta SPRM 2009 dan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Pindaan 2012).

PRK DUN Chini diadakan ekoran penyandangnya, Datuk Seri Abu Bakar Harun, 60, meninggal dunia pada 6 Mei lepas di Hospital Kuala Lumpur, akibat serangan jantung. Abu Bakar menjadi wakil rakyat kawasan itu sejak Pilihan Raya Umum ke-11 pada 2004.

Ia menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) Mohd Sharim Md Zain, 41, dan dua calon Bebas iaitu Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin, 64, dan Mohd Shukri Mohd Ramli, 49 tahun.

Pada PRU14 yang lepas, Abu Bakar menang dengan majoriti 4,622 undi, selepas memperoleh 10,027 undi menewaskan calon PAS Mohd Fadhil Noor Abdul Karim yang mendapat 5,405 undi, manakala Mohamad Razali Ithnain dari PKR sekadar memperoleh 1,065 undi.



— BERNAMA

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker