MUKTAMAD! PKR Sah Tolak Mahathir Sebagai Calon Perdana Menteri Kali Ke – 3

KENYATAAN MEDIA 19 Jun 2020

KEMBALI KE LANDASAN REFORMASI, GEMBLENG TENAGA UNTUK KEMBALIKAN MANDAT RAKYAT

Majlis Pimpinan Pusat (MPP) KEADILAN telah mengadakan mesyuarat khas bersama Ahli-Ahli Parlimen KEADILAN hari ni.
KEADILAN mengambil kira pandangan semua pihak dalam mencari jalan terbaik mempertahankan kebajikan rakyat dan membawa keadilan untuk semua rakyat.

KEADILAN menghargai usul dan usaha rakan-rakan dalam DAP dan AMANAH yang secara konsisten menyokong pencalonan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri. Permasalahan berbangkit apabila Tun Dr Mahathir Mohamad berpendirian mahu kembali buat kali ketiga sebagai Perdana Menteri.

Dalam mesyuarat hari ini, KEADILAN telah membuat keputusan-keputusan berikut:

1. Sekiranya KEADILAN kembali menjadi sebahagian dari Kerajaan Persekutuan, dasar dan program pentadbiran yang dianggotai KEADILAN itu mestilah mengangkat semangat keadilan untuk semua, mempertahan Perlembagaan Persekutuan serta hak dan kuasa Raja-Raja Melayu, membela nasib rakyat terutama orang Melayu dan bumiputera Sabah dan Sarawak, dan memperjuang agenda reformasi serta pembaharuan tata kelola pentadbiran Kerajaan.

2. Kerajaan Persekutuan ini mestilah memberi tumpuan kepada penyelesaian masalah golongan rakyat miskin bandar dan desa, memperjuangkan nasib peneroka dan pekerja, serta membangun semula negara dalam keadaan tiada mana-mana kumpulan yang tertinggal jauh di belakang. Pentadbiran baharu ini juga mestilah bersifat stabil dan tidak tertakluk kepada pertukaran kepimpinan yang berkali-kali.

3. Keadaan menjadi lebih parah selepas penularan wabak Covid-19 di mana tumpuan harus diberi untuk memulihkan ekonomi negara, menyelamatkan pekerjaan atau mewujudkan peluang pekerjaan baharu, serta memperjuang nasib pekerja. Kerajaan Persekutuan yang baharu mestilah memberi fokus menyeluruh untuk melaksanakan agenda ini.

4. Keputusan pilihan raya-pilihan raya kecil dan pandangan rakyat termasuk masyarakat Melayu yang kritis ketika Pakatan Harapan mentadbir mesti diteliti, difahami, dan dijadikan iktibar untuk perbaiki keadaan. Keinsafan ini memerlukan bukan sahaja muhasabah tetapi juga ikhtiar reformasi dalaman yang menyeluruh, untuk sekali lagi memenangi hati rakyat dengan mengutamakan nasib mereka.

5. Beberapa kes mutakhir ini turut menimbulkan keresahan di kalangan rakyat, bila mana mereka yang berkedudukan atau dilihat mempunyai hubungan dengan pemerintah dilepaskan atau dikenakan hukuman ringan, manakala rakyat pula ditekan atau dihukum dengan cukup berat sekali. Oleh yang demikian, Kerajaan Persekutuan yang baharu perlu mengatasi persepsi ini agar prinsip keadilan bukan sahaja dilakukan tetapi juga dilihat dilakukan.

6. KEADILAN yakin isu-isu ini selari dengan aspirasi parti mengangkat prinsip keadilan, memperjuang suara rakyat dan meneruskan agenda reformasi, serta menjadi wadah politik pelbagai kaum yang menghargai sumbangan setiap rakyat dan mengangkat martabat mereka.

7. KEADILAN tetap terbuka untuk berbincang dengan semua pihak termasuk Tun Dr Mahathir demi usaha menyelamatkan Malaysia dan mengembalikan mandat rakyat ke tempatnya. Walau bagaimanapun, parti memutuskan untuk tidak menyokong cadangan mencalonkan Tun Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri, dan kekal dengan konsensus Pakatan Harapan mencalonkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

8. KEADILAN komited untuk terus mengukuhkan Pakatan Harapan, dan akan meneruskan usaha menggembleng tenaga dari semua pihak yang sefahaman untuk mengembalikan mandat rakyat ke tempatnya dalam masa terdekat.

9. Pada masa yang sama KEADILAN akan terus menumpukan tenaga dan bersiap siaga menghadapi Pilihanraya Umum mengejut yang mungkin dipanggil pada bila-bila masa.

Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN
Ahli-Ahli Parlimen KEADILAN

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker