Anwar gagal dapat sokongan sebagai PM, kata Dap dan Amanah

Pilihan Anwar jadi PM dah gagal, kata DAP dan Amanah

DAP dan Amanah mendedahkan pilihan pertama mereka untuk mencalonkan Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri tidak berjaya mendapat sokongan diperlukan bagi membentuk kerajaan.

Justeru, ia menyebabkan pilihan kedua, iaitu Dr Mahahir Mohamad sebagai perdana menteri dan Anwar sebagai timbalannya, dikemukakan.

Dalam kenyataan bersama pemimpin parti itu petang ini, DAP dan Amanah mendedahkan pilihan pertama hanya mampu mendapat sokongan maksimum 96 anggota parlimen.

Jumlah itu melibatkan 91 sokongan anggota parlimen Pakatan Harapan (38 PKR, 42 DAP dan 11 Amanah) dan lima dari Bersatu, termasuk Mahathir.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad dan Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke Siew Fook, yang juga dua bekas menteri dalam kabinet Mahathir sebelum ini.

Khalid dan Loke juga mendedahkan usaha terakhir Anwar untuk mendapatkan sokongan Gabungan Parti Sarawak (GPS) juga tidak berjaya.

Tambah mereka, tempoh masa dipersetujui bagi merungkai kebuntuan itu juga telah tamat dan gagal mendapat sokongan cukup.

“Kami berharap usaha untuk mendapatkan sokongan melalui opsyen kedua boleh seterusnya dilakukan sepertimana dipersetujui kerana pentadbiran kerajaan PN jelas mendatangkan kerosakan kepada institusi dan kewangan negara,” menurut kenyataan itu.

Sebelum ini PKR dalam satu kenyataan menyatakan pendirian mereka menolak Mahathir sebagai calon perdana menteri kesembilan PH Plus.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan parti itu, pemimpin pusat dan anggota parlimen PKR menolak Mahathir sebagai calon perdana menteri sekali lagi dan kekal dengan pendirian agar presiden mereka menjadi calon perdana menteri.

Perkara itu disuarakan selepas mesyuarat khas Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dan anggota parlimen PKR di atas talian pagi tadi.

Bagaimanapun, parti itu terbuka untuk berbincang dengan semua pihak termasuk Mahathir “demi usaha menyelamatkan Malaysia dan mengembalikan mandat rakyat ke tempatnya”.

Dalam pada itu, menurut Khaid dan Loke, DAP serta Amanah menghormati pendirian PKR yang mahukan Anwar dicalonkan sebagai bakal perdana menteri.

Bagaimanapun kedua-dua parti itu menegaskan bahawa mesyuarat PH telah bersetuju sekiranya keputusan mencalonkan Anwar memungkin mereka untuk merampas Putrajaya, usaha diteruskan dengan pilihan kedua mencalonkan Mahathir sebagai perdana menteri dan Anwar timbalan.

Oleh itu DAP dan Amanah berharap usaha untuk mendapatkan sokongan melalui pilihan kedua seperti mana dipersetujui dapat dilaksanakan.

“Memandangkan ianya opsyen yang pernah dibincang dan dipersetujui untuk dipertimbangkan bersama, sekiranya opsyen satu gagal mendapat sokongan yang mencukupi, diharapkan PKR kembali kepada keputusan mesyuarat Majlis Presiden PH pada 30 Mei 2020,” katanya lagi.

Mkini

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker