Angkatan Muda Keadilan TIDAK SOKONG Mahathir sebagai calon PM-9
AMK hari ini berkata, ia tidak akan menyokong Dr Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri Pakatan Harapan (PH) kerana sudah hilang kepercayaan terhadap pemimpin beliau.
Ketua Pemuda PKR Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, beliau percaya pendirian yang diambil itu mewakili suara akar umbi PKR dan pendukung PH.
“Ingatlah, kejatuhan kerajaan PH tidak akan berlaku sekiranya perdana menteri ketika itu (Dr Mahathir) tidak meletakkan jawatan tanpa perbincangan dengan PH,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.
Kenyataan beliau muncul selepas setiausaha organisasi DAP Loke Siew Fook berkata secara terbuka semalam bahawa PKR perlu menyatakan pendiriannya berhubung calon perdana menteri PH, antara presiden PKR Anwar Ibrahim dan Mahathir.
Sementara itu, Majlis Kepimpinan Pusat PKR mengeluarkan satu kenyataan di ibu negara hari ini menyatakan mesyuarat bulanan parti itu esok akan memuktamadkan pendirian parti berhubung jawatan perdana menteri itu.