Jemput kita imarahkan semula masjid
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri rasa gusar terhadap jumlah jemaah khususnya di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin Wilayah Persekutuan Putrajaya yang kurang memberangsangkan.
Beliau berkongsi perkara itu di akaun Twitter rasminya hari ini.
Katanya, masjid serta surau di zon hijau dan zon kuning di Wilayah Persekutuan mula dibuka dengan had kapasiti 1/3 dari jumlah had kapasiti dewan solat utama, bermula semalam.
“Jemput kita imarahkan semula masjid, surau Jumaat dan surau dalam Wilayah Persekutuan bagi yang berhampiran. Pastikan patuhi semua Prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
”Sama-sama ikuti sidang media 100 hari JPM (Hal Ehwal Agama) pada jam 1.30 tengah hari nanti,” katanya.
Kebimbangan jumlah kehadiran jemaah di masjid turut dirasai oleh warga maya dikenali @faizkamarudin87, apabila memberitahu, kebanyakan jemaah hanya mengejar untuk solat Jumaat tapi solat waktu lain kekal sepi seperti sedia kala.
Namun ada juga pelayar menyuarakan pendapat mereka tentang had kapasiti para jemaah di sesebuah masjid mahupun surau yang mengundang kekeliruan.
“Ramai yang tidak tahu masjid sudah buka, ada yang keliru dengan had kapasiti 1/3 jumlah jemaah bagi sesebuah surau dan masjid.
“Ada yang ingat jemaah terhad kepada 13 jemaah, 40 jemaah lagi. Kekeliruan ini perlu diperjelaskan,” katanya.
Dalam pada itu, pelayar dikenali @hafiz berkata, masyarakat masih bimbang dan belum yakin dengan tahap pemulihan masyarakat dari mengekang wabak koronavirus (Covid-19).
“Mereka yang sayangkan keluarga, sahabat dan jiran-jiran tidak ingin diri mereka menjadi sebab kepada pertumbuhan tahap keberjangkitan gejala dan penubuhan kluster baru. Mungkin itu salah satu faktor tidak ramai jemaah di masjid,” katanya.
Sehingga jam 11 pagi, ciapan diulang kongsi lebih 1,000 dan 2,400 tanda suka dari warga maya.
Sinar
You must be logged in to post a comment.