Didakwa terima suapan RM260,000, kontrak bot Melaka River Cruise

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM), Mohd Fariz Mohd Ali mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen (Khas Rasuah) di sini, hari ini atas empat pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM260,000, tiga tahun lalu.

Tertuduh berusia 38 tahun, membuat pengakuan tidak bersalah itu di hadapan Hakim, Datuk Mohd Nasir Nordin.

Tertuduh yang ketika itu berjawatan sebagai Pengurus di Bahagian Pembangunan Perniagaan dan Produk PPSPM, didakwa menerima suapan wang tunai berjumlah RM260,000 secara empat pertemuan berasingan dengan seorang individu, Osman Abdul Rahman selaku wakil syarikat pembekalan bot, LEC Impression Sdn Bhd untuk mendorong memperoleh projek membekal beberapa bot Melaka River Cruise (MRC) kepada perbadanan itu.

Kesalahan itu dilakukan di dua lokasi berbeza dalam daerah Melaka Tengah iaitu di Taman Peringgit Jaya dan Taman Puncak Bertam dalam tempoh bermula 4 Januari 2017 sehingga 15 November 2017.



Mohd Fariz dituduh mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Mohd Fariz turut mengaku tidak bersalah terhadap empat pertuduhan pilihan yang ditawarkan pihak pendakwaan iaitu menerima benda berharga tanpa balasan iaitu wang tunai RM260,000 untuk dirinya melalui empat transaksi daripada Lim di tempat dan waktu sama.

Pendakwaan yang dijalankan Pegawai Pendakwa SPRM, Wan Shaharuddin Wan Ladin menawarkan jaminan RM50,000, manakala tertuduh diwakili peguam Shahrul Fazli Kamarulzaman dan Aiman Abdul Rahman memohon ikat jamin lebih rendah dengan alasan anak guamnya mempunyai tanggungan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM50,000, dengan seorang penjamin, selain perlu menyerahkan pasport kepada SPRM dan melaporkan diri minggu pertama setiap bulan kepada SPRM.



Mahkamah turut menetapkan 23 Julai untuk sebutan semula kes.

BH

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker