Masalah selesai jika Muhyiddin kembali pada UMNO

Nur Jazlan berkata, walaupun isu pengagihan kerusi mampu dipersetujui pucuk pimpinan, beliau yakin akar umbi dan pimpinan negeri tidak akan bertolak ansur dengan Bersatu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Jun, 2020.

MUHYIDDIN Yassin perlu menyertai semula Umno untuk mengelak kemelut yang dijangka melanda partinya menjelang PRU15, kata pemimpin parti kerajaan itu.

Timbalan pengerusi perhubungan Umno Johor Nur Jazlan Mohammed berkata, masalah itu sudahpun dijangka kerana Bersatu, PAS, dan Umno akan merebut kerusi sama dalam kawasan majoriti Melayu.

Beliau mendedahkan, Bersatu menuntut sehingga separuh daripada kerusi berkenaan sedangkan parti lain sukar menyokong perkara itu.

Oleh itu, Bersatu yang dipimpin perdana menteri itu tidak wajar menentukan agihan kerusi berkenaan, kata bekas timbalan menteri tersebut.

“Bersatu hendak separuh daripada kerusi majoriti Melayu, kemudian nak kita kempen untuk mereka sedangkan mereka tidak ada sumbangan pun, tak malu.

“Sepatutnya Bersatu jadi pelengkap, tapi ini nak jadi penentu. Berapa banyak undi yang Bersatu boleh dapat,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Oleh itu Muhyiddin hanya mampu kembali menyertai Umno untuk menyelesaikan isu agihan kerusi dan juga masalah kestabilan kerajaan dan politik.

“Muhyiddin sekarang tersepit, nak pilihan raya dapatkan mandat besar, masalah agihan kerusi, nak kekalkan kerajaan, politik tak stabil.

“Cara penyelesaiannya, bubar Bersatu, Muhyiddin masuk Umno,” kata bekas ahli Parlimen Pulai itu.

Nur Jazlan berkata, walaupun isu pengagihan kerusi mampu dipersetujui pucuk pimpinan, beliau yakin akar umbi dan pimpinan negeri tidak akan bertolak ansur dengan Bersatu.

Selain itu, beberapa faktor lain seperti boikot dan sabotaj juga perlu dipertimbangkan.

“Kalau Bersatu nak jadi pelengkap tiada masalah tapi kalau nak tanding 50 kerusi Melayu, PAS dan Umno tidak akan setuju, kalau dapat 15 kerusi pun sudah cukup bagus,” katanya.

Jelasnya, masalah tetap akan timbul sekiranya agihan seperti itu dipersetujui pemimpin parti.

“Pucuk pimpinan macam (Presiden Umno Ahmad) Zahid Hamidi, (Presiden PAS Abdul) Hadi Awang, dan Muhyiddin boleh bersetuju, orang bawah tak ikut tak guna juga.

“Kalau kita berebut antara kita, Pakatan Harapan (PH) juga yang untung,” katanya.

Beliau mengulas laporan The Malaysian Insight semalam mengenai tuntutan Bersatu untuk bertanding di 50 daripada 222 kerusi Parlimen dalam PRU15.

Menurut sumber, hasrat itu dibincangkan dalam satu pertemuan antara pemimpin Bersatu dan PAS di Putrajaya pada 1 Jun lalu.

Beberapa hari selepas pertemuan itu, PAS menyatakan keyakinan bahawa parti dalam gabungan PN sudah bersedia untuk memukmadkan pembahagian kerusi bagi menghadapi PRU15.

Naib Presiden Umno Mohamed Khaled Nordin bagaimanapun dalam reaksi segera berkata pandangan tersebut hanya mewakili pendirian PAS dan bukannya pendirian rasmi PN.

Sementara itu, beberapa sumber Perikatan Nasional memberitahu The Malaysian Insight, Putrajaya bersiap sedia untuk mengadakan pilihan raya lebih awal tahun ini di tengah pandemik Covid-19.

PRU lebih awal itu semakin mendapat perhatian ekoran spekulasi mengenai keupayaan Pakatan Harapan untuk mengambil alih pentadbiran Putrajaya semula. – 14 Jun, 2020.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker