Jualan ekuiti oleh pelabur asing pada RM523.8 juta bersih

KUALA LUMPUR, 14 Jun — Pelabur asing mencatatkan jumlah aliran keluar bersih RM523.8 juta dari pasaran ekuiti tempatan bagi tempoh Selasa hingga Khamis minggu ini, kira-kira separuh daripada keseluruhan jumlah aliran keluar bersih RM1.15 bilion minggu lepas.

Penganalisis, MIDF Amanah Investment Bank Bhd, Adam Mohamed Rahim berkata minggu ini bermula suram apabila pelabur asing menjual RM250.6 juta bersih ekuiti tempatan pada Selasa.

“Bagaimanapun, dana asing kembali memasuki pasaran tempatan dengan nilai bersih RM1.44 juta pada Rabu, sekali gus menamatkan 11 hari penjualan di Bursa Malaysia,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata kemasukan dana asing yang sederhana ke Malaysia pada Rabu seiring dengan bursa tempatan yang ditutup pada 1,575.27 mata, paras penutupan tertinggi dicatatkan bagi tempoh sejak akhir Januari 2020.



Sentimen minat risiko juga meningkat pada hari yang sama dalam keadaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKPP) bertempoh 10 Jun hingga 31 Ogos mula berkuat kuasa.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan PKPP untuk menggantikan Perintah Kawalan Pergerakan yang bermula dari 4 Mei hingga 9 Jun.

“Bagaimanapun pembelian bersih asing dalam pasaran tempatan hanya dalam tempoh singkat sehingga Khamis apabila dana antarabangsa membuat penjualan bersih RM274.6 juta.

“Ini berikutan minat pelabur terjejas ekoran harga pengguna Amerika Syarikat yang tidak memberangsangkan setelah merekodkan penurunan bulanan ketiga berturut-turut pada Mei 2020,” katanya.



Adam berkata selain penyertaan asing, pelabur runcit juga kekal aktif dalam pasaran tempatan dan menjadi pembeli bersih mulai Selasa hingga Khamis dengan jumlah nilai keseluruhan RM385.1 juta.

Bursa Malaysia dijangka meneruskan mod pembetulan untuk mencatatkan dagangan dengan kecenderungan menurun minggu depan.

Menurut penganalisis, fasa pembetulan FBM KLCI sememangnya dijangkakan memandangkan peningkatan harga perolehan agak berlanjutan serta tinggi, manakala paras indeks bergerak dalam lingkungan terlebih beli.

“Paras rintangan dan sokongan masing-masing pada 1,580 dan 1,510 mata. Purata Pergerakan Mudah 200 hari pada 1,516 mata.



Pasaran ditutup pada Isnin, 8 Jun susulan cuti umum sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

— BERNAMA



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker