Dakwah kontemporari
Oleh Dr Azlan Shaiful
PADA masa kini, kuliah agama atau dikenali sebagai tazkirah dalam kalangan masyarakat kita tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan. Kesedaran terhadap asas Islam yang penting termasuk Fardu Ain, Bahasa Arab, Ilmu al-Quran, Tajwid hingga kelas-kelas tasmik dan talaqqi menjadi daya penarik masyarakat dewasa ini.
Biasanya kelas-kelas ini diadakan secara berkala di masjid, surau dan dewan khas yang boleh memuatkan ratusan malahan ribuan peserta dalam satu-satu masa. Kebanyakannya dianjurkan di kota atau di desa dan ia mendapat liputan yang meluas di mana-mana.
Semangat mencari ilmu ini bersesuaian dengan seruan
Allah SWT dalam Surah Thaha ayat 114: “Maka Maha Tinggi, Allah Raja Yang sebenar-benarnya, dan janganlah kamu tergesa-gesa membaca al-Qur’an sebelum disempurnakan dan mewahyukannya kepadamu, dan katakanlah: “Wahai Tuhanku, tambahkanlah kepadaku ilmu pengetahuan.”
Namun, setelah negara kita khasnya dan dunia amnya dilanda pandemik Covid-19 semuanya sudah berubah. Normal-normal baharu sudah mula melanda semua aktiviti seharian kita. Pelbagai perkara harus disesuaikan mengikut suasana dan keadaan sekeliling. Tidak ketinggalan aktiviti keagamaan. Tiada lagi solat berjemaah di masjid sehingga kini.
Walaupun ada sebahagian masjid utama dibuka dengan bilangan jemaah yang terhad, tetapi kuliah agama dan kelas-kelas berkaitan sama ada harian atau bulanan masih tidak berjalan seperti sedia kala.
Alhamdulillah, dengan adanya kemudahan teknologi, termasuk media sosial dan aplikasi komunikasi segerak yang interaktif serta terkini seperti Facebook, Instagram, Microsoft Teams, Google Meet, Zoom Meeting Cloud dan lain-lain memang sangat berbaloi.
Kebanyakan penceramah, pendakwah ataupun asatizah yang selama ini jarang atau mungkin tidak pernah menggunakan aplikasi ini, sekarang telah membuka mata untuk meluaskan skop dakwah bukan hanya secara berdepan atau face-to-face, malahan memanfaatkan sepenuhnya aplikasi yang disebutkan tadi.
Malahan penulis sendiri, semasa bulan Ramadan lalu memanfaatkan media sosial untuk menganjurkan tazkirah Ramadan harian secara langsung melalui aplikasi Facebook Live walaupun hanya duduk di rumah.
Ini bertepatan dengan hadis daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda: “Barangsiapa yang menempuh satu jalan untuk menuntut ilmu maka Allah SWT akan memudahkan baginya jalan ke Syurga. Tidaklah satu kumpulan berkumpul di dalam sebuah rumah di antara rumah-rumah Allah, membaca kitab Allah (al-Qur’an) dan mempelajarinya sesama mereka melainkan akan turun kepada mereka sakinah (ketenangan), diliputi ke atas mereka rahmat dan dinaungi oleh malaikat serta Allah SWT akan menyebut mereka pada malaikat yang berada di sisi-Nya.” (Riwayat Muslim)
Antara manfaat program agama secara dalam talian ialah para penceramah memerlukan peralatan teknologi yang asas seperti komputer, telefon pintar dan akses internet untuk menjayakan sesuatu ceramah.
Ini secara tidak langsung menggalakkan pengetahuan asas berkenaan ICT dalam kalangan pendakwah. Para pendengar juga dapat meningkatkan pengetahuan ICT mereka terutama sekali dalam kalangan warga emas. Seruan menjadi orang yang berpengetahuan disebut oleh Allah SWT dalam Surah Az-zumar ayat 9: Katakanlah: “Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?”
Sesungguhnya orang yang berakallah yang dapat menerima pelajaran. Ada juga mutiara kata hukama’ atau orang bijak pandai menyatakan: “Tuntutlah ilmu dari buaian hingga ke liang lahad.” Ini bertepatan dengan konsep pembelajaran sepanjang hayat atau disebut sebagai at-Ta’allum madal hayah dalam Bahasa Arab.
Selain itu, penjimatan masa dan implikasi kewangan juga dapat dilakukan. Sekiranya sebelum ini penceramah perlu bergerak ke sana dan ke sini untuk menyampaikan ceramah termasuk menghadapi kesesakan lalu lintas yang mengakibatkan mereka lewat sampai ke destinasi kuliah mereka. Tetapi sekarang mereka hanya perlu bersedia sekitar 10 minit sebelum bersiaran untuk bersiap sedia menyampaikan ilmu.
Pengurusan masa ini bertepatan dengan firman Allah SWT dalam Surah al-Asr ayat 1 hingga 3: “Demi masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan beramal soleh, mereka berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran.”
Para pendengar yang sebelum ini selalu terlepas untuk menghadiri kuliah di masjid atau surau dan masa mereka yang agak tidak fleksibel, juga tidak perlu bimbang kerana mereka hanya perlu memasangkan alat pendengaran dan memilih penceramah yang digemari oleh mereka, di tempat kerja atau kediaman masing-masing.
Kemudian mereka boleh mendengar juga siaran rakaman jika terlupa atau tidak berkesempatan bersiaran langsung. Pendek kata: “Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.” Moga pengajian agama dalam normal baharu ini memberi impak yang mampan dan tuntas kepada masyarakat Malaysia dalam meneruskan wadah pencarian khazanah agama yang tidak ternilai harganya.
Penulis ialah Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
You must be logged in to post a comment.