‘Lepas ini dah tak ada baju batik saya yang jadi asas kuih-muih’

Terkini di My KMU !!!!---->

Sidang media harian Covid-19 oleh Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob akan dikurangkan kepada tiga kali sahaja seminggu mulai esok, iaitu pada hari Isnin, Rabu dan Jumaat.

Dalam mengumumkan perkara tersebut, Ismail secara berseloroh berkata, selepas 89 hari bersama, akhirnya penonton tidak dapat lagi melihat persalinan batik berwarna-warni yang dikenakannya khusus untuk penampilan di hari minggu.

“Ingin saya maklumkan, bahawa hari ini merupakan hari terakhir saya bersiaran secara langsung setiap hari. Dan hari ini juga, merupakan hari terakhir saya bersiaran pada hujung minggu.

“Mungkin selepas ini, tidak ada lagilah baju batik berwarna warni yang menjadi asas kepada kuih-muih dan minuman tuan-tuan dan puan-puan sekalian,” katanya menteri kanan kluster keselamatan itu lagi.

Ismail sebelum ini menjelaskan dia memilih satu baju batik daripada koleksinya setiap hari untuk digayakan, tetapi mendapat perhatian warganet yang menyamakan pilihan corak batiknya dengan makanan tempatan dalam satu siri gambar yang tular.

Ismail turut memuji kreativiti warganet yang membandingkan corak persalinannya dengan kek lapis Sarawak, puding pelangi, minuman goncang avokado dan pelbagai lagi.

“Oleh itu, saya ingin merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam usaha memerangi pandemik Covid-19, terutamanya petugas barisan hadapan yang bertugas tanpa mengira rasa penat dan lelah.

“[…] Tak lupa juga pengorbanan para pengamal media yang bertugas tanpa jemu dan penuh dedikasi setiap hari dalam menyampaikan maklumat tepat kepada rakyat,” katanya.

Antara tugasnya Ismail sebagai Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) adalah mempengerusikan mesyuarat khas menteri-menteri setiap hari dan segala keputusan atau penjelasan mereka akan dihebahkan menerusi dalam sidang media harian berkenaan.

Selepas lebih tiga bulan menjadi antara tokoh utama yang menjadi perhatian banyak pihak sepanjang wabak Covid-19, ketua pengarah kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah semalam turut mengumumkan bahawa pihaknya juga tidak akan lagi mengadakan sidang media secara harian bermula minggu depan.

Malaysia menguatkuasakan PKP pada 18 Mac yang kemudian dilonggarkan menerusi beberapa fasa sehinggalah yang terbaru, PKP pemulihan (PKPP) yang berlangsung dari 10 Jun hingga 31 Ogos.

Mkini

Leave a Reply