Kenapa PH takut namakan Anwar sebagai calon PM?
Mengapa tidak umum sahaja Anwar sebagai PM?
SELASA lalu sekitar jam 3 petang, satu mesyuarat bersama pimpinan Pakatan Harapan Tambahan (PH Plus) telah berlangsung di ibu pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Mesyuarat yang berdurasi tiga jam itu telah dipengerusikan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan panel utama terdiri daripada Tun Dr Mahathir Mohamad, Lim Guan Eng, Muhamad Sabu dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, selain kepimpinan tertinggi setiap parti.
Perbincangan secara menyeluruh tentang pendirian setiap parti dalam soal mendapatkan semula mandat rakyat menjadi agenda utama. Dilaporkan perbincangan tersebut menampakkan kemajuan yang amat positif.
Namun tiada kata putus yang diumumkan setelah tamatnya mesyuarat. Segala keputusan hanya akan dimuktamadkan dalam masa seminggu. Sama ada pengumuman yang tiada keputusan ini satu strategi atau satu kebuntuan, ia subjektif kepada siapa yang menafsirnya.
Syarikat berkaitan Mirzan Mahathir disiasat Bursa Singapura
Secara jujurnya ada dua perkiraan dalam dua situasi. Perkiraan siapakah yang akan menjadi Perdana Menteri, sama ada Anwar atau masih Tun Mahathir, dan situasi apakah perlu kebangkitan semula kerajaan PH secara segera dengan majoriti yang mungkin setara kerajaan sedia ada, atau memilih untuk terus menjadi pembangkang sehingga PRU15 dengan memantapkan gerakan.
Ada pro dan kontra dari setiap perkiraan dan situasi, yang dipercayai kalau terus dibahaskan mungkin akhirnya akan menemui jalan buntu.
Peralihan kuasa adalah antara soal pokok untuk memecah kebuntuan. Tetapi bagaimana hendak menamakan Tun Mahathir sebagai PM ke-9 sedangkan ketika berkuasa, Tun telah gagal melaksanakan janji serah kuasa sehingga kuasanya terbubar dengan perletakan jawatan tanpa perbincangan bersama.
Malah apabila dicadangkan Anwar ke dalam Kabinet, ditolak mentah. Pelan peralihan kuasa juga tidak mahu dibincangkan dan tarikh serah kuasa pula tidak mampu ditetapkan. Terimalah hakikat, menyaksikan peralihan kuasa dari Tun Mahathir kepada Anwar adalah umpama mengejar fatamorgana.
Janganlah dirosakkan buku sejarah anak-anak kita dengan ketandusan politik apabila meletakkan Tun Mahathir PM ke-9. Apa justifikasi kita untuk menceritakan kisah sejarah Perdana Menteri tiga kali?
Kononnya semua pihak mahukan Tun sebagai PM-9 menjadi umpan yang begitu laris, padahal menamakan Tun sebagai PM-9 adalah satu keputusan yang lapuk, sepertimana lapuknya idea ‘revival’ PPSMI dan sebagaimana lapuknya idea perusahaan otomobil ketiga.
Mengapa tidak diumumkan sahaja Anwar sebagai Perdana Menteri seterusnya? Ia mungkin satu keputusan yang agak skeptikal jika sekadar khabar angin, tetapi jika Anwar benar-benar diumumkan oleh PH Plus sebagai PM kali ini, seluruh negara akan terasa auranya, seantero dunia akan merasa bahangnya.
Menamakan Anwar sebagai Perdana Menteri baharu adalah sangat bugar dan segar di perdu jiwa masyarakat. Percayalah, di saat Anwar diumum sebagai Perdana Menteri, ia mampu mencetus motivasi lebih ramai ahli Parlimen untuk bersama Pakatan Harapan. Ketika itu, nombor bukan lagi satu perkiraan.
Edy Noor Reduan
Pemimpin PKR Negeri Sembilan dan aktivis blogger.
Sinar
Apa yang penulis artikel ini berkata mengenai Mahathir adalah tepat tetapi mengenai Anwar tidak tepat langsung. Anwar juga seperti Mahathir, sudah tiada aura lagi. Malah ramai pemimpin utama PH tiada aura dan kemampuan untuk memimpin kerajaan persekuruan. PH kena ketengahkan calon yang “fresh” untuk menarik hati rakyat. Rakyat tidak mahu tertipu kali kedua.
You must be logged in to post a comment.