Jarak sosial dalam pesawat tidak wajib, risiko jangkitan rendah, kata AirAsia
Syarikat penerbangan tambang rendah, AirAsia Bhd mengalu-alukan keputusan kerajaan untuk tidak mewajibkan penjarakan sosial dalam penerbangan, kata ketua pegawai eksekutif, Riad Asmat.
Beliau berkata, menurut Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA), bukti menunjukkan risiko jangkitan dalam pesawat adalah sangat rendah.
“Pesawat dilengkapi dengan ciri-ciri yang dapat mengurangkan risiko jangkitan di dalam pesawat seperti penapis udara berzarah kecekapan tinggi (HEPA) yang memastikan udara dalam pesawat sentiasa bersih.
“Tahap kebersihan ini setaraf dengan kualiti udara dalam bilik pembedahan di hospital,” katanya.
AirAsia turut menyambut baik pembukaan semula perjalanan domestik susulan pengumuman perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) baru-baru ini, serta insentif seperti pelepasan cukai pendapatan RM1,000 untuk perbelanjaan pelancongan domestik hingga Disember 2021, katanya.
“Berpegang teguh kepada slogan kami, ‘Now Everyone Can Fly’, kami dengan besar hati menyokong usaha kerajaan dengan melancarkan Pas Tanpa Had untuk merangsangkan dan menghidupkan semula pelancongan domestik Malaysia,” katanya.
Pada 7 Jun, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan beberapa kelonggaran yang dibenarkan kepada rakyat di bawah PKPP, termasuk kebenaran perjalanan rentas negeri mulai 10 Jun.
Susulan itu, AirAsia melancarkan Pas Tanpa Had Cuti-Cuti Malaysia untuk merangsang dan merancakkan semula pelancongan domestik bagi menyokong usaha kerajaan.
FMT
You must be logged in to post a comment.