PM kelapan: Rakyat Malaysia perlu henti pertikai Agong

SHAH ALAM – Rakyat Malaysia perlu berhenti mempertikaikan tindakan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah melantik Perdana Menteri kelapan bagi menyelesaikan kemelut politik tanah air yang berlaku baru-baru ini.

Ahli Dewan Negara, Senator Tan Sri Dr Ibrahim Abu Shah berkata, jika ramai yang masih berterusan mempersoalkan hak Seri Paduka Baginda dalam hal tersebut, pihak terlibat boleh dikategorikan sebagai penderhaka.

“Saya nak jelaskan bahawa pelantikan Perdana Menteri baharu itu adalah berdasarkan Perlembagaan dan tuduhan mengatakan pelantikan tersebut dibuat melalui pintu belakang atau secara tebuk atap adalah tidak benar.

“Harus diingat kerajaan Malaysia jatuh disebabkan Perdana Menteri terdahulu meletak jawatan dan apabila senario itu berlaku menjadi tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong untuk menyelesaikan masalah yang timbul,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Wacana Sinar ke-172 bertajuk Kerajaan Beta: Agong & Perlembagaan Persekutuan yang dianjurkan bersama Kursi Institusi Raja-raja Melayu Universiti Teknologi Mara (UiTM) sempena Hari Keputeraan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI semalam.

Turut menjadi panelis pada wacana kali ini ialah Penyandang Kursi Institusi Raja-raja Melayu Universiti Teknologi Mara (UiTM), Profesor Emeritus Datuk Dr Zainal Kling dan Felo Utama Institut Kajian Etnik (Kita), Profesor Datuk Dr Teo Kok Siong serta personaliti televisyen, Amin Idris selaku moderator.

Menurutnya, jika negara dibiarkan tanpa Perdana Menteri, tanpa barisan Kabinet, negara tidak mampu bergerak ke depan dan Seri Paduka sudah membuat keputusan yang cukup baik dengan mengikut Perlembagaan, norma serta peraturan termasuk memanggil semua ahli Dewan Rakyat untuk memilih.

“Ini tidak pernah berlaku, malah dalam sejarah politik dunia juga tiada Perdana Menteri letak jawatan sendiri, setahu saya tidak ada.

“Ini tiada demonstrasi jalanan tetapi Perdana Menteri jatuhkan diri dia sendiri, jadi tak bolehlah tuduh kerajaan sekarang sebagai kerajaan pintu belakang atau kerajaan korek atap.

“Kerajaan sekarang adalah sah dan Perdana Menteri kelapan dilantik Yang di-Pertuan Agong mengikut Perlembagaan setelah berpuas hati dengan sokongan semua ahli Dewan Rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, Ibrahim berkata, Yang di-Pertuan Agong ialah raja yang mementingkan keselamatan dan aspirasi rakyat.

“Tiada sebab untuk kita sebagai rakyat mempersoalkan apa yang kita ada pada hari ini. Tuanku pernah beritahu sebelum ini bahawa ‘ini adalah kerajaan beta’.

“Maka ia benar sekali ini memang kerajaan Yang di-Pertuan Agong kerana Seri Paduka Baginda menjaga semuanya dari hal agama Islam dan agama lain, bahasa Melayu, adat resam, hak-hak istimewa orang Melayu dan kaum lain. Sistem yang ada ini cukup adil,” katanya.

SH

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker