Picit punggung undang fitnah

Oleh Muhammad Saufi Hassan

BERGAMBAR memeluk isteri sambil memicit punggung isteri? Itu cabaran media sosial yang dikenali sebagai #picitchallenge yang mula tular sejak sambutan Aidilfitri lalu mengundang pelbagai persepsi umum termasuk kecaman daripada warganet.

Cabaran berkenaan menampilkan suami memicit punggung isterinya dan gambar berkenaan dimuat naik di laman sosial serta meletakkan tanda pagar #picitchallenge.

Walaupun secara prinsipnya, isteri berkenaan adalah hak terhadap suaminya namun adakah sesuatu yang wajar gambar kurang sopan berkenaan dikongsi di akaun media sosial seolah-olah sudah hilang perasaan malu.

Bermesraan antara suami dan isteri selepas berkahwin adalah sesuatu yang dihalalkan. Ia adalah anugerah Allah SWT kepada hamba-Nya yang mempunyai naluri untuk memiliki dan dimiliki.

Justeru, menzahirkan rasa cinta kepada pasangan masing-masing melalui sentuhan dan kata-kata adalah perkara biasa.

Bagaimanapun, Islam amat memberi perhatian terhadap isu kehormatan dan maruah suami dan isteri.

Menerusi sabda Nabi Muhammad SAW bermaksud: “Iman itu ada 70 lebih cabang. Dan rasa malu salah satu cabang daripada iman.” (Riwayat Muslim, no. 35)

Rasa malu menurut Imam an-Nawawi RH adalah: “Akhlak terpuji yang mendorong seseorang untuk meninggalkan sesuatu yang buruk dan mencegahnya daripada kelalaian dalam memenuhi hak pemiliknya.”

Dalam hal lain, beliau juga menyebutkan antara perkara yang menjatuhkan maruah adalah mencium isteri di khalayak ramai.

Justeru, perbuatan suami isteri bercumbu hendaklah dielakkan di khalayak umum dan di media sosial kerana ia bukan akhlak Muslim dan jauh sekali daripada adab ketimuran yang kita junjung selama ini.

Berdasarkan pandangan berkenaan, penulis lebih cenderung untuk meletakkan bahawa perbuatan berkongsi gambar suami memicit punggung isterinya bukan hanya menjatuhkan maruah, malah perkara itu mengundang imaginasi orang yang melihatnya.

Bagaimana maruah seorang isteri walaupun si isteri itu bersifat ‘reda’ dengan kelakuan suaminya dan berkongsi gambar untuk menjadi tontonan umum di media sosial. Adakah perkara berkenaan hanya mengejar ‘kebanggaan’ dan bagaimana pula adab pasangan suami isteri yang bergelar penganut Islam?

Sebuah hadis Rasulullah bermaksud: Sesungguhnya sifat malu tidaklah mendatangkan apa-apa kecuali hanya kebaikan.” (Riwayat al-Bukhari, no. 6117)

Satu petikan kenyataan daripada Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad menyatakan bahawa perbuatan berkongsi keintiman dengan khalayak adalah dilarang oleh ajaran Islam dan perbuatan itu perlu disesuaikan dengan tempat yang sepatutnya.

Islam sangat mengutamakan adab, setiap langkah, kata-kata dan perbuatan ada tempat yang lebih sesuai walaupun seseorang itu bergelar suami isteri namun masih perlu mengutamakan tatasusila membabitkan gambar yang ingin dikongsi dengan umum.

Apa yang berlaku bagi segelintir umat Islam hari ini yang melihat semua itu sebagai ‘normalisasi baharu’ walaupun pada kaedah pemikiran akal adalah sangat bertentangan, malah mengundang terbukanya pintu fitnah.

Penulis ingin mengingatkan kepada semua termasuk diri sendiri berhubung satu sabda Nabi daripada Abu Sa’id al-Khudri RA, Nabi Muhammad bersabda: “Kalian benar-benar akan mengikut jalan orang-orang sebelum kalian sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta sehinggalah jika mereka masuk ke dalam lubang biawak pun kalian akan memasukinya. Kami (iaitu kalangan sahabat) bertanya: “Ya Rasulullah, adakah mereka itu Yahudi dan Nasrani? Baginda SAW menjawab: “Siapa lagi (kalau bukan mereka)?” (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

HM

Related Articles

One Comment

  1. akhir zaman banyak kerja gila manusia lakukan, ‘pemudah caranya’ atau ‘salah guna caranya’ ialah macam laman media sosial ciptaan yahudi

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker