DAP Mengaku Kerajaan PH Tumbang Kerana Tiada ‘Group WhatsApp’ Kata Najib

Kuala Lumpur – Ahli Parlimen Pekan, sekali lagi mencuit hati netizen melalui sindiran tajam yang dilemparkan kepada pimpinan Pakatan Harapan (PH).

Najib melalui laman Facebooknya sebentar tadi berkata kerajaan pimpinan PH pasti tidak akan tumbang sekiranya mereka mempunyai kumpulan WhatsApp bagi membincangkan perkembangan politik tanahair.

“Akhirnya, DAP mengaku kerajaan PH tumbang kerana mereka tiada grup Whatsapp.

“Liew Chin Tong dedah dalam temu bual dengan akhbar Kwong Wah Yit Poh bahawa mereka terlalu bergantung kepada Saifuddin Abdullah untuk komunikasi antara parti-parti PH.

“Oleh sebab Saifudin Abdullah dituduh sudah berpaling tadah maka komunikasi antara empat parti PH telah gagal sehingga mereka keliru empat hari.

“Akibat keliru empat hari, kerajaan PH pun tumbang.

(Kan saya dah berulang-kali pesan? Buat grup Whatsapp! Tapi korang tak mahu dengar),” sindir Najib.

Najib berkata demikian sebagai reaksi terhadap kenyataan Pengarah Pendidikan Politik DAP, Liew Chin Tong yang disiarkan melalui akhbar Kwong Wah Yit semalam.

Menurut Chin Tong perjumpaan Sheraton pada Februari telah menyebabkan parti komponen PH keliru selama empat hari dan gagal bertindak balas terhadap keadaan politik masa itu.

Kegagalan bertindak secara efektif dalam empat hari yang sangat penting itu termasuk tidak dapat mengenal pasti kedudukan Tun Dr. Mahathir Mohamad seterusnya menyebabkan kerajaan PH ditumbangkan.

Chin Tong berkata, majlis makan Sheraton merupakan rancangan politik yang sudah dirancang lama dan apabila perjumpaan itu mengambil tempat, pemimpin PH hanya mampu tergamam kerana tidak dapat menguasai apa yang sedang berlaku.

“Kegagalan kami adalah berpunca daripada serangan trojan apabila Ketua Setiausaha Sekretariat PH masa itu, Datuk Saifuddin Abdullah berpaling tadah dan menyebabkan komunikasi antara parti-parti komponen terganggu.

“Selama ini, komunikasi antara parti banyak dijalankan melalui sekretariat dan kami tidak sangka Saifuddin juga adalah trojan,” memetik kenyataannya melalui wawancara tersebut.

Menurutnya lagi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali telah membawa diri sebagai golongan yang mempertahankan Mahathir daripada didesak melepaskan jawatan.

“Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Marzuki Yahya ada memberi amaran bahawa partinya akan membuat keputusan yang tidak berpihak kepada PH jika Mahathir terus didesak.

“Anwar juga bertindak dengan segera dan bertolak ansur dalam soal jawatan Perdana Menteri,” ujarnya lagi.

Chin Tong turut mendakwa, rentak peralihan kuasa itu terlalu cepat dan sempurna sehingga menyebabkan PH tidak dapat bertindak balas kerana kekeliruan selama empat hari.

“Pada masa itu, kami tidak tahu pendirian Mahathir atau Muhyiddin. Ramai yang beranggapan bahawa Mahathir berada di kem bertentangan.

“Hanya selepas Anwar, Lim Guan Eng, Mohamad Sabu dan Wan Azizah berjumpa dengan Mahathir, barulah kami sedar bahawa Mahathir telah didesak oleh pihak lawan,” katanya.

Beliau turut berpendapat Mahathir tersilap langkah apabila mencadangkan kerajaan perpaduan dibentuk.

Malah keengganan Mahathir menghadiri mesyuarat PH bagi melakukan perbincangan turut menjadi antara sebab runtuhnya kerajaan PH.

Suara.Tv

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker