Tukang gunting rambut gembira dapat ‘bernafas semula’

KUALA TERENGGANU, 7 Jun — Keputusan kerajaan membenarkan perkhidmatan gunting rambut beroperasi semula mulai Rabu ini ternyata memberi kegembiraan kepada tukang gunting kerana mereka dapat ‘bernafas semula’ setelah tiada pendapatan hampir tiga bulan.

Pengasas Matt Barber Shop, Mohd Yusof Taib, 38, berkata meskipun prosedur operasi standard (SOP) yang diberikan agak ketat berbanding sektor lain, beliau tetap bersyukur kerana sekurang-kurangnya seramai 60 pekerjanya dapat kembali bekerja.

“Saya kasihankan para pekerja kerana pendapatan mereka memang terjejas teruk. Segala SOP seperti perlu memakai apron pakai buang dan sarung tangan baharu untuk setiap pelanggan akan dipatuhi asalkan mereka boleh kembali bekerja.

“Bagi pihak saya pula walaupun sepanjang PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) tiada sebarang pendapatan tetapi terpaksa menanggung lebih RM30,000 sebulan termasuk kos sewa premis, bil internet dan sebagainya. Sehinggakan terpaksa membuat pinjaman kerana simpanan yang ada mulai menyusut,” katanya ketika ditemui Bernama, di sini, hari ini.

Namun, Mohd Yusof mengakui akan menaikkan caj sebanyak RM5 untuk setiap perkhidmatan di 10 cawangan kedai guntingnya di Terengganu dan Kuantan, Pahang bagi menampung kos penyediaan peralatan pematuhan SOP seperti membeli cecair pembasmi kuman, apron pakai buang dan sarung tangan.

“Hendak buka semula kedai pada Rabu ini pun lebih kurang RM2,000 terpaksa diperuntukkan untuk setiap cawangan bagi membeli peralatan keselamatan dan kos upah untuk operasi nyahkuman. Tukang gunting juga terpaksa tukar apron pakai buang dan sarung tangan untuk setiap pelanggan.

“Semua peralatan seperti gunting dan pisau cukur perlu dinyahkuman setiap kali bertukar pelanggan dan kita terpaksa menggunakan cecair pembasmi kuman yang berkualiti dan sedikit mahal bagi memastikan peralatan tidak mudah berkarat. Jadi, kita harap pelanggan faham kenapa caj tambahan terpaksa dikenakan,” katanya.

Selain itu, Mohd Yusof berkata pihaknya menjangkakan akan hanya menerima sehingga 70 pelanggan dalam sehari berbanding lebih 100 sebelum ini berikutan terpaksa mengurangkan jumlah pelanggan dalam satu-satu masa bagi mematuhi jarak antara kerusi tukang gunting, sekurang-kurangnya dua meter.

Semua pekerja akan diberikan taklimat secara berperingkat mulai esok bagi memastikan mereka betul-betul memahami dan mematuhi segala SOP yang ditetapkan.

Dalam pada itu, Mohd Yusof menyeru kepada semua pemilik kedai gunting rambut supaya mematuhi SOP yang diberikan bagi memastikan kebenaran untuk beroperasi ini tidak akan ditarik semula.

“Memang SOP agak ketat tetapi kita kena patuhi. Bayangkan kalau kita tidak ikut (SOP) dan kes COVID-19 meningkat semula atau wujudnya kluster gunting rambut, kita terpaksa tutup kedai dan tanggung kerugian lagi,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Tarmizi Abdul Rashid, 36, yang mempunyai dua cawangan kedai gunting rambut di sekitar Kuala Terengganu berkata pihaknya tidak mahu tergesa-gesa membuka kedai pada Rabu ini dan akan hanya kembali beroperasi pada 15 Jun nanti.

Hal ini kerana beliau mahu betul-betul memahami SOP menggunting rambut pelanggan yang dikenakan dan ingin melihat terlebih dahulu kaedah keselamatan dan kebersihan yang diamalkan oleh kedai gunting rambut yang lain.

“Saya tengok SOP agak ketat jadi saya mahu ‘study’ (kaji) dahulu sebab takut kalau kita tidak ikut SOP bukan sahaja kena saman tetapi berisiko berlakunya penyebaran COVID-19. Malah, ada juga pekerja saya yang masih risau akan keselamatan diri apabila kembali bekerja,” katanya.

— BERNAMA

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker